Pahang tuntut Israel bebas semua sukarelawan GSF yang ditahan tanpa syarat

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang bersama Kerajaan Persekutuan menuntut rejim Israel membebaskan semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan ketika dalam misi kemanusiaan ke Gaza tanpa syarat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga mengalu-alukan segala usaha dan bentuk sokongan daripada rakyat Pahang termasuk Himpunan Sumud Flotilla yang akan diadakan di pekarangan parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini selepas solat Jumaat, Jumaat ini.

Menurutnya, sukarelawan itu membawa semangat keberanian dan keikhlasan yang tinggi demi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.

"Tindakan rejim Israel itu jelas satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia apatah lagi terhadap mereka yang hadir dengan niat murni untuk membantu insan yang sedang sengsara

"Saya rasa berdukacita dan keprihatinan yang mendalam terhadap penahanan sukarelawan GSF termasuk sukarelawan Malaysia oleh tentera rejim Israel ini," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang menyatakan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan yang ditahan dan berdoa agar mereka selamat, dilindungi daripada sebarang bahaya serta segera dibebaskan.

"Rakyat Pahang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut kebebasan dan maruah mereka.

"Pahang juga menyokong sebarang usaha kemanusiaan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin," ujarnya.

Terdahuly, beliau meminta seluruh rakyat negeri ini mendoakan keselamatan warga Malaysia peserta Misi GSF yang kini ditawan tentera Rejim Zionis Israel.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan 13 rakyat negara ini di atas lima kapal misi GSF terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).

Lapan termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel setakat jam 6 pagi waktu Malaysia

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang.

Pada jam 2.03 pagi waktu Malaysia, SNCC mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.

Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kapal-kapal termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan turut menuntut agar proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat tanpa halangan.

Ringkasan AI

  • Rakyat Pahang diminta mendoakan keselamatan warga Malaysia yang ditawan tentera Rejim Zionis Israel
  • Menteri Besar Pahang mendoakan keselamatan dan pembebasan sukarelawan yang terlibat dalam Misi Sukarelawan Global Sumud Flotilla
  • Solat hajat diseru untuk mendapatkan perlindungan ALLAH bagi sukarelawan tersebut
  • Kerajaan negeri Pahang menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin
  • Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis dan petugas kemanusiaan yang terlibat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!