PN gesa kerajaan pastikan keselamatan, pembebasan segera sukarelawan GSF

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengambil langkah segera melalui saluran diplomatik dan perundangan bagi memastikan keselamatan serta pembebasan semua sukarelawan, khususnya warganegara Malaysia.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya pada masa sama menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa lain supaya tidak lagi berdiam diri.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Israel mesti dipertanggungjawabkan atas kesalahan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukannya.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang menceroboh serta menghalang misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

“Konvoi ini membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza yang sedang menderita, namun Israel sekali lagi membuktikan kezalimannya dengan menyekat walaupun misi atas nama kemanusiaan.

“Tindakan ini bukan sahaja satu jenayah terhadap warga Palestin, malah penghinaan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang cintakan keamanan. Serangan terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi ini adalah serangan terhadap maruah negara kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 10 pagi tadi.

Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.

Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius; manakala Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu; serta penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, menaiki kapal Hio.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella; serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berpandangan Israel boleh menghalang kapal, tetapi tidak akan mampu menangkis gelombang solidariti yang semakin membesar di seluruh dunia untuk membela Palestin.

“Perjuangan ini ialah perjuangan kemanusiaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin hingga kemenangan tercapai,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!