11 rakyat Malaysia hadiri ijtimak tabligh di Sulawesi dikesan di Tawau

Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneliti paparan skrin pengimbas haba di Balai Ketibaan Penerbangan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Bernama
Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneliti paparan skrin pengimbas haba di Balai Ketibaan Penerbangan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan 11 rakyat Malaysia yang pergi ke Sulawesi, Indonesia bagi menghadiri Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia dikesan di Tawau, Sabah semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka telah menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) dan dikuarantin bagi menunggu keputusannya.

“Memang betul kita menunggu mereka di Tawau dan kita dapat mengesan 11 dari jemaah tabligh...ujian swab telah diambil, kita hanya menunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan menganggarkan 80 hingga 100 rakyat Malaysia ke Sulawesi bagi menghadiri perhimpunan berkenaan berdasarkan sesi libat urus antara beliau dan pemimpin tabligh.

Ditanya berhubung baki rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan itu, beliau berkata, berkemungkinan besar mereka masih di negara jiran itu.

Media sebelum ini melaporkan acara perhimpunan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia itu membabitkan ribuan masyarakat Islam di wilayah Sulawesi Selatan dan dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac.

Bagaimanapun, penganjur dilaporkan membatalkan perhimpunan itu berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 1,306 kes kumulatif positif Covid-19 di Malaysia sehingga 12 tengah hari ini, 62 peratus kes atau 743 pesakit adalah daripada perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Ini bermakna satu dalam setiap 10 individu yang menghadiri perhimpunan jemaah tabligh yang disaring seorang didapati positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan beliau dengan pemimpin kumpulan tabligh, perhimpunan di Sri Petaling itu melibatkan 16,000 individu.

Katanya, daripada jumlah itu 14,500 merupakan warga Malaysia manakala 1,500 merupakan peserta warga asing daripada 25 buah negara.

Tambah Dr Noor Hisham, setakat ini 11,000 anggota jemaah tabligh sudah menjalani saringan dan pihaknya menyasarkan kesemua 14,500 warga Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh itu menjalani saringan.

“Difahamkan dari Indonesia sahaja seramai 695 jemaah menyertai perhimpunan itu. Kita (Kementerian Kesihatan) risau kalau penularan Covid-19 (dari perhimpunan tabligh itu) diimport dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada kes Covid-19 daripada perhimpunan yang lain di negara ini. - Bernama