Pembantu kedai runcit didakwa tetak lelaki guna parang

SUNGAI PETANI - Seorang pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan parang terhadap seorang lelaki bulan lalu.
Tertuduh, A Suriavarman, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nassri Abdullah, 36, menggunakan sebilah parang di bawah Flat Paya Nahu 2, kira-kira jam 3.55 petang pada 21 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Najwa menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November depan bagi menunggu laporan perubatan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditetak oleh seorang lelaki tidak dikenali semasa datang ke rumah abangnya di flat berkenaan pada hari kejadian.
Mangsa kemudian mengalami kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.
Ringkasan AI
- Seorang pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan parang
- Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Najwa Che Mat
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat
- Jaminan ditawarkan sebanyak RM8,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan melapor di balai polis sebulan sekali
- Sebutan semula kes pada 4 November untuk menunggu laporan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

