Peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah memandu lawan arus

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu atas tuduhan memandu melawan arus dua minggu lalu.
Tertuduh, S Thaanesh, 26, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta didakwa memandu di atas jalan raya secara melulu dengan cara menyongsang arus di Kilometer 4 Jalan Gelang Patah – Ulu Choh di sini, sekitar jam 9 pagi, 9 Mei lalu.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 bagi sabitan pertama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu diserahkan kepada mahkamah dan jika mempunyai lesen percubaan ia akan dibatalkan.
Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam VS Selvanteran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya berniaga secara kecil-kecilan dan menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin termasuk tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun depan termasuk serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!