Covid-19: Dua kematian, 123 kes positif baharu

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan pertambahan dua lagi kematian akibat koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, laporan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10 kes sehingga kini.

"Kes kematian ke-9 merupakan kes lelaki warga Malaysia berumur 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara ke Turki. Beliau merupakan kakitangan KKM yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan disahkan meninggal dunia hari ini.

"Kes kematian kesepuluh melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh yang telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac 2020 setelah mengalami simptom pada 8 Mac.

"Lelaki itu telah disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Dia disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang tadi," katanya pada sidang media Situasi Semasa Jangkitan Covid-19 di Malaysia, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari, terdapat 123 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

"Berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

"49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sehingga kini seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 22 memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 25 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 139 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, seramai 460 anggota KKM telah menjalani saringan pengesanan Covid-19 yang mana 270 daripadanya didapati negatif manakala baki 190 masih menunggu keputusan.

"KKM prihatin terhadap kesihatan semua anggotanya termasuk juga aspek kesihatan mental. Di peringkat setiap fasiliti, KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk ahli keluarga dan mereka yang terkesan dari segi emosi akibat daripada kejadian Covid-19 ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil saringan pengesanan Covid-19 terhadap kluster himpunan tabligh setakat ini mendapati sebanyak 1 daripada 10 individu yang disaring didapati positif.

Beliau turut menyatakan rasa khuatir kemungkinan wabak Covid-19 dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh diimport dari luar negara.

"Perhimpunan tabligh melibatkan 25 buah negara dan kami faham bahawa terdapat 695 peserta dari Indonesia, jadi kami bimbang ada kemungkinan penyebaran Covid-19 (dalam kalangan peserta tabligh) mungkin telah diimport dari luar negeri," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan pihaknya telah menyaring seramai 11,000 jemaah dan daripada jumlah itu sebanyak 743 kes dikesan positif.

Mengenai Ijtima of Asia 2020, di Indonesia, Dr Noor Hisham, berkata saringan telah dilakukan ke atas 11 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang telah menghadiri program di Sulawesi itu.

“Pada 15 Mac, saya telah adakan pertemuan dengan pemimpin tabligh di mana mereka maklumkan mungkin 85 orang telah hadir perhimpunan di Sulawesi.

“Jadi kemungkinan dalam 80 hingga 100 orang keseluruhan warga negara Malaysia (hadir program itu),” katanya.