Curi lembu guna ubat pelali, dua lagi suspek diburu

(Gambar kiri) Antara barangan yang ditemui dalam kenderaan suspek. (Gambar kanan) Kenderaan dinaiki suspek terbabas sebelum kesemua mereka larikan diri dalam kejadian di ladang sawit Krau 4 dekat Empangan Klau 3 Ogos lalu. - Foto ihsan PDRM
(Gambar kiri) Antara barangan yang ditemui dalam kenderaan suspek. (Gambar kanan) Kenderaan dinaiki suspek terbabas sebelum kesemua mereka larikan diri dalam kejadian di ladang sawit Krau 4 dekat Empangan Klau 3 Ogos lalu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

RAUB - Polis Raub kini memburu dua lagi lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes mencuri lembu menggunakan ubat pelali terhadap ternakan itu di ladang sawit Krau 4 dekat Empangan Klau di sini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman memberitahu, sebelum ini seorang suspek iaitu lelaki berusia 38 tahun yang juga seorang penganggur telah ditahan di ladang sawit Felda Krau di sini pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, lelaki itu yang memiliki 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama dua lagi rakannya yang masih bebas dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Raub pada 9 Ogos lalu.

"Pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 10.41 pagi, pihak polis telah menerima satu aduan daripada seorang lelaki mendakwa pada jam kira-kira 2.30 pagi di ladang sawit dekat Empangan Klau terserempak dengan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh tiga lelaki telah menembak dua ekor lembu miliknya menggunakan bius pelali.

"Apabila menyedari kehadiran pengadu, ketiga-tiga suspek telah bertindak melarikan diri dengan kereta jenis Honda Odyssey biru yang mereka naiki," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, semasa cubaan melarikan diri, kereta yang dinaiki oleh mereka telah terbabas dan kesemua suspek berjaya melarikan diri.

Jelas Mohd Shahril, kes disiasat bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 iaitu cubaan curi lembu dan memiliki senjata tanpa lesen atau permit.

"Usaha mengesan dua lagi rakan sepenjenayah yang telah dikenal pasti masih diteruskan," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling serta kehadiran orang luar yang mencurigakan di sekitar kawasan tempat tinggal dan kediaman juga rumah-rumah ibadat.

Jelas Mohd Shahril, sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di talian 09-3552222.