Jejak perjuangan Tuan Guru Haji Mohd Tahir Daeng Mangati

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah, pada 15 dan 16 September lalu menyaksikan kedua-dua buku saya dan buku Dr Wahibah Mohd Tahir dilancarkan dengan rasminya.
Saya dengan buku terbitan bersama Pustaka Qamar dan Jabatan Arkib Pas Pusat bertajuk “Dari Madrasah Ke Parlimen: Warisan Perjuangan 70 Muktamar Pas 1951-2024” yang berupa sejarah sebuah parti politik.
Dr Wahibah (bersama sepupunya Drs Zainuddin Umar) pula dengan buku terbitan bersama Pustaka Zhilal dan APSA Publication bertajuk “Terbuang Tapi Terbilang: Biografi Ulama Bugis, Tuan Guru Haji Mohd Tahir bin Daeng Mangati” berupa sejarah seorang ulama.

Buku Dr Wahibah ini mempunyai 13 bab, iaitu Bab 1 (Terbuang Tapi Terbilang), Bab 2 (Anak Lelaki Kesayangan Keluarga”, Bab 3 (Didikan Pesantren), Bab 4 (Titisan Darah Syuhada Bugis), Bab 5 (Isteri Berhati Emas), Bab 6 (Langkah Bermula), Bab 7 (Dalam Intaian Derita), Bab 8 (Hijrah Membawa Berkah), Bab 9 (Isteri Seorang Aisyah Yang Ramai Anak), Bab 10 (Legasi Seorang Ayah), Bab 11 (Legasi Seorang Guru Murabbi), Bab 10 (Legasi Seorang Penterjemah) dan Bab 13 (Legasi Pejuang Revolusioner Reformer).
Walaupun kesibukan, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghabiskan membaca buku ini kerana ceritanya menyentuh dan mengesankan jiwa.
Ia menceritakan bagaimana Haji Mohd Tahir, yang dilahirkan di sebuah desa bernama Kampung Ongkoe di Kecamatan (Daerah) Belawa, Kabupaten (Wilayah) Wajo, Sulawesi Selatan pada tahun 1924, dibesarkan dengan didikan agama.
Ketika sekolah Belanda (HIS) terbuka untuk anak bangsawan, ayahnya, Daeng Mangati, mengajar sendiri fardu ain selain menghantar beliau belajar di Madrasah Kiyai Haji Mahmud Fasieh di Tokkade seterusnya belajar di Madrasah As’adiyah Sengkang.
Pada usia 15 tahun (1938), ketika teman sebayanya masih mengejar riang remaja, Haji Mohd Tahir sudah mengajar di Rampang Jalang, diikuti dengan Madrasah Arabiah Islamiah (MAI) Mangkoso, MAI Wajo, MAI Ongkoe dan MAI Tokkade.
Tindakan Belanda memenjarakan Daeng Mangati menyebabkan beliau mati syahid pada tahun 1935 menjadi api yang tersembunyi dalam dada.
Saat transisi kemerdekaan Indonesia setelah diisytiharkan pada 17 Ogos 1945, rakyat bangkit menentang tentera penjajah Belanda yang mahu kembali menjajah Indonesia.
Haji Mohd Tahir bersama rakan-rakannya di Wajo bangkit memimpin Gerakan Pemuda Bugis dan bergabung dalam kumpulan tentera gerila Revolusi Negara Indonesia (RNI) cabang Sulawesi Selatan.
Ekoran itu, Haji Mohd Tahir dan rakan-rakannya diburu dan diancam bunuh oleh tentera penjajah Belanda.
Hasil cadangan ahli keluarga beliau, demi melindungi ahli keluarga dan rakan-rakannya dari gangguan tentera Belanda di samping memikirkan perjuangan yang lebih berkesan, pada tahun 1947 Haji Mohd Tahir terpaksa mengambil keputusan meninggalkan tanah tumpah darah, isteri, Subaidah binti Haji Yahya yang dikahwini pada tahun 1943, dan dua orang anak, Rasyidi dan M. Yafie, serta keluarga tercinta menuju Kalimantan ke Pulau Jawa untuk bersama Tentera Revolusi Negara Indonesia (TRNI).
Kisah bagaimana beliau diburu, diancam, menyusup dari kebun ke kebun, disembunyikan sahabat-sahabat yang sanggup mempertaruhkan rumah dan nyawa, antaranya Andi Maggottong dan Andi Jakare, nama-nama yang beliau sebut dengan mata berkaca hingga ke akhir hayat, amat mengharukan.
Setelah menjejak ke Pulau Jawa, beliau melihat Soekarno dan Hatta ditawan dan dibebaskan, menyaksikan kedaulatan lahir melalui jerih dan diplomasi.
Sesudah kedaulatan diiktiraf (1949), beliau dan rakan-rakan dari Sulawesi menghadap Presiden Soekarno memohon agar Islam dijadikan sebagai dasar negara Indonesia merdeka selaras dengan Piagam Jakarta yang dirumuskan oleh Panitia Sembilan pada 22 Jun 1945 yang isinya mencakup dasar negara Pancasila, namun dengan tambahan frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya” pada sila pertama.
Mereka juga menuntut kuasa autonomi diberikan untuk menegakkan pemerintahan Islam di Sulawesi Selatan.
Akan tetapi tuntutan mereka tidak dipedulikan oleh Presiden Soekarno. Haji Mohd Tahir telah ditawarkan dengan jawatan tertinggi jika mahu pulang ke Makassar dalam mengisi kemerdekaan dan tunduk dengan dasar negara Indonesia merdeka.
Kemarahan yang tidak dapat disekat membawa kepada munculnya gerakan pemberontakan di seluruh Jawa dan tertubuhnya Darul Islam Indonesia (DII) yang diketuai oleh Kartosuwirjo.
Gerakan pemberontakan ini berkembang sampai ke Acheh dan Sulawesi Selatan, mengisytiharkan negara Islam Indonesia untuk melaksanakan syariat Islam sebagaimana yang mereka perjuangkan ketika melawan penjajah Belanda.
Dalam situasi yang tidak menentu ini, beliau mengambil keputusan nekad meninggalkan Pulau Jawa.
Dari Jakarta, beliau menumpang tongkang nelayan menuju ke Sumatera, Riau, Singapura dan ke Pontian, Johor, untuk membangunkan hidup baru di sana.
Di Johor, 1949, beliau berkahwin dengan Saanah binti Abdul Hamid yang baru berusia 10 tahun.
Dua tahun kemudian (1951), mereka menunaikan haji. Di Tanah Suci, beliau tersambung jaringan fikrah dengan tokoh-tokoh Ikhwan Muslimin; yakin bahawa di Tanah Melayu ada wadah siasah yang boleh menanggung cita-cita islah.
Itulah Pas, ditubuhkan 1951 dan beliau menyambutnya seperti seorang pengembara menyambut lampu pelita.
Hidup selepas hijrah bermula dari paling dasar. Beliau menanam padi, mengusung sayur ke pasar, menjaja kain dan buku dari rumah ke rumah di kampung-kampung; siang mencari nafkah, malam menabur dakwah. Duka menyapa bertimpa, tetapi jiwa tidak pernah patah.
Beliau dan rakan-rakan Bugis mengasaskan Pas Benut (6 Mei 1954), iaitu Cawangan Pas kedua di Johor selepas Johor Bharu.
Ahli mencecah 750 orang, hujung minggu beliau berceramah di serata kampung di antara sela berniaga. Hasil usahanya juga Pas Sungai Pulai (1955) dan Pas Bandar Maharani (1956) berjaya ditubuhkan.
Dalam PRU 1959, beliau menawarkan diri mewakili Pas di P69 Muar Selatan dan N22 Parit Jawa.
Daripada 3 calon Parlimen Pas di Johor beliau sesatunya calon Pas yang tidak hilang deposit.
Beliau memperolehi 2508 undi berbanding 11850 undi yang diperolehi calon UMNO, Sulaiman bin Dato Abdul Rahman serta 2069 undi yang diperolehi calon NEGARA, Raja Hashim Bin Haji Mahmood.
Dan daripada 9 calon DUN Pas di Johor beliau salah seorang daripada dua calon Pas yang tidak hilang deposit (seorang lagi ialah Ab. Latif bin Hj. Othman di N11 Benut).
Beliau memperolehi 1532 undi berbanding 8552 undi yang diperolehi calon UMNO, Suleiman Bin Ninam Shah, dan 2009 undi yang diperolehi calon NEGARA, Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Karim.
Menarik bila diceritakan dalam buku ini mengenai pengorbanan besar Haji Mohd Tahir, ahli keluarga dan masyarakat Bugis di Johor bagi membangunkan Pas pada waktu itu:
Sebenarnya, rahsia kekuatan ekonominya terletak pada dukungan padu dari keluarga sebelah isterinya yang turut aktif dalam Pas.
Tidak sedikit pengorbanan mertuanya, Haji Abdul Hamid dan Hajah Mindi, yang sanggup menjual kebun pusaka mereka selain derma yang mencurah-curah daripada aadik-beradik Hajah Mindi iaitu Hajah Endok Gollah, Hajah Endok Accah dan suami masing-masing sehingga ke akhir hayat mereka.
Antara dana yang sering perlu ditanggunginya termasuklah kos makan pekerja parti, menyediakan kenderaan perayu undi, menempah sepanduk, bahan kempen, dana untuk penceramah berkempen dan rapat umum.
Hampir semuanya kos ditanggungnya selain bantuan derma daripada ahli PasJohor, rakan-rakan serta masyarakat kampung yang menyokong perjuangan beliau.
Kegigihannya memperjuangkan Pas terbukti: “Bak kata rakan-rakan sezaman dengannya, ke mana sahaja beliau berpindah, pasti ada cawangan PAS baharu ditubuhkan ataupun muncul.”
Satu lagi aspek menarik mengenai beliau ialah penglibatan beliau membangunkan madrasah. Di mana beliau berpijak di situ madrasah ditegakkan atau dihidupkan semula.
Antara madrasah-madrasah yang pernah mendapat sentuhan beliau ialah:
1. Madrasah Arabiah Bugisiyah, Benut (1953–1954) – pengasas.
2. Madrasah Arabiah al-Tanwiriyah, Parit Jawa (1960-an) – pengislah.
3. Madrasah Arabiah Abbasiyah, Bakri (1960-an) – pengislah.
4. Madrasah Arabiah Kluang (1967–1983) – guru.
5. Madrasah Dar al-Falah, Kuala Sungai Baru, Melaka (1984) – menghidupkan semula.
6. Madrasah Masriyah, Simpang Rengam (1986) – mudir pertama.
7. Madrasah Tahfiz al-Qur’an al-Tarbiyah, Sungai Pulai (diasaskan 1992) – legasi akhir.
Madrasah Tahfiz al-Qur’an al-Tarbiyah al-Islamiah, Sungai Pulai adalah sebuah penutup hayat yang seperti mukadimah untuk generasi seterusnya.
Institusi ini menjadi pusat pendidikan dan dakwah yang meneruskan usaha beliau dalam membentuk generasi yang mencintai ilmu dan Islam.
Pada penghujung usia, beliau juga menumpukan tenaga menterjemah karya dakwah daripada Arab ke Melayu. Hampir 50 judul diusahakan tetapi hanya 20 sempat diterbitkan.
Melaluinya, nama-nama besar seperti Mustafa Masyhur, Zainab al-Ghazali, Fathi Yakan dan Abdullah Nasih Ulwan dipertemukan dengan pembaca Melayu melalui tangan seorang guru perantau.
Antara karya-karya dakwah yang sempat diterbitkan ialah Jalan Dakwah, Dakwah Fardiyah, Bekalan di Jalan Dakwah, Hari-Hari Dalam Hidupku, Munajat di Jalan Dakwah, Ciri-Ciri Dakwah Islamiyah, Jalan Dakwah: Antara Qiadah & Jundiyyah, Islam: Fikrah, Harakah & Perubahan, Al-Hub, Keperibadian Muslim, Islam Antara Ulama’ & Umara’, Dakwah & Tarbiah: Pandangan Hasan al-Banna serta Al-Munthalaq (terbit pasca wafat).
Ramai mengenalnya sebagai “penterjemah”, sedang beliau juga seorang pendidik, pengasas madrasah, pembangun cawangan Pas, calon pilihan raya Pas, Setiausaha Pas Johor, Ketua Penerangan Pas Johor, Ketua Dewan Ulama Pas Johor dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat. Satu tubuh, banyak amanah, satu hidup, banyak luka, tetapi tidak pernah putus asa.
Pada 3 Syawal 1414H / 15 Mac 1994, selepas pembedahan usus di Hospital Besar Muar, beliau menghembus nafas terakhir.
Di belakangnya tertinggal madrasah yang hidup, buku-buku yang terus dibaca dan anak-anak murid yang menyambung kerja yang sama, mengalirkan cahaya.
Antaranya ialah Dr Daeng Sanusi Mariok, mantan Naib Presiden Pas, dan Ustaz Abdullah Hussin, mantan Pesuruhjaya Pas Johor.
Hidup Haji Mohd Tahir mengajar bahawa kemenangan bukan semestinya terjadi pada musim kita. Ada benih yang ditanam dengan peluh, air mata, bahkan kehilangan; benih itu mungkin dituai oleh anak cucu yang tidak pernah melihat wajah kita.
Beliau kehilangan ayah, tanah air, dan beberapa orang anak; tetapi tidak pernah kehilangan keyakinan.
Beliau menolak jalan pintas agar tidak menukar prinsip dengan jawatan. Di Indonesia beliau menolak tawaran kompromi pasca-kedaulatan Presiden Soekarno atas prinsip.
Di Malaysia beliau menolak tawaran jawatan Ketua Penerangan UMNO juga atas prinsip. Di Di Indonesia, beliau mengangkat senjata semangat. Di Johor, beliau mengangkat kapur dan kitab.
Kedua-duanya perjuangan yang sama, membebaskan manusia dengan ilmu dan iman.
Jika satu kalimah merangkumkan riwayatnya, kalimah itu ialah tsabat, tetap teguh. Teguh di medan perang, teguh di ladang sawah, teguh di kelas madrasah, teguh di meja terjemahan dan teguh di pentas politik yang penuh ujian.
Dan kerana keteguhan itulah, selepas 15 Mac 1994, namanya hidup sebagai doa, ilmunya mengalir sebagai sedekah jariah dan madrasahnya berdiri sebagai saksi bahawa seorang guru perantau mampu mengubah peta nasib sebuah generasi.
Walaupun tidak mengenali Haji Mohd Tahir, saya mengenali tiga daripada 19 anaknya. Selain Dr Wahibah, anak ke-11, saya mengenali Ambok Dalek, anak ke-6, yang merupakan suami kepada sahabat saya, Marhaini Yusoff, dan anak ke-14, Nafisah, yang merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari.
Saya juga mengenali baik Wak Kasiran Akhsan, anak angkat mertuanya merangkap sahabatnya dalam Pas.
Paling menarik dalam buku ini ialah penegasan ini: “Haji Mohd Tahir yakin suatu hari nanti pengundi di Johor akan bersama PAS dengan syarat tugas dakwah mesti berterusan dan pendukung Pas mesti memperbagaikan strategi politik sesuai dengan realiti semasa dan sentiasa berpegang teguh dengan Islam sebagai dasar perjuangan parti. Baginya, kemenangan Pas di Johor mungkin tidak berlaku pada zamannya tetapi pada zaman anak cucunya nanti. Harapan Haji Mohd Tahir akan ada dalam kalangan anak cucu cicit atau piutnya yang nanti akan membawa panji kemenangan Pas dalam pilihan raya di Johor sebagai penebus kekalahan beliau dalam PRU 1959.”
Kita menanti siapakah dalam kalangan anak cucu cicit atau piut Haji Mohd Tahir yang kelak akan tampil di medan perjuangan mengangkat panji kemenangan Pas di bumi Johor sekali gus menebus kekalahan yang pernah beliau alami dalam PRU 1959.
Buku ini amat sesuai menjadi bahan bacaan generasi muda khususnya bagi mengingati dan mengambil inspirasi dari perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu. Semoga lebih banyak buku-buku biografi sebegini dapat diterbikan di kemudian hari.
Buku ini juga mendapat aluan Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang di antara lainnya menulis:
"Buku ini merupakan satu usaha yang sangat berharga untuk mengenang jasa dan pengorbanan seorang ulama pejuang yang telah mengorbankan jiwa, raga, dan masa demi mendaulatkan Islam di tanah air tercinta. Saya yakin biografi ini bukan sahaja akan memperkayakan khazanah sejarah perjuangan Islam di Malaysia dan Indonesia tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada pembaca untuk terus istiqamah di jalan Allah SWT.”
Tahniah kepada Dr Wahibah Mohd Tahir dan Drs Zainuddin Umar atas penerbitan buku ini.
NOTA
1. Dr Wahibah Mohd Tahir, yang merupakan ahli Majlis Syura Pas, adalah lulusan ijazah doktor falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan tesis bertajuk “Kulliyah Al-Banat Al-Islamiyyah Universiti Al-Azhar: Sejarah Perkembangan Dan Sumbangan Wanita Lulusannya dalam Pendidikan Islam di Malaysia (1964-1994)”
2. Buku “Terbuang Tapi Terbilang: Biografi Ulama Bugis, Tuan Guru Haji Mohd Tahir bin Daeng Mangati” boleh didapatkan dengan menghubungi penulis di nombor telefon 013-3506453 atau menempah di https://terbuangtapiterbilang.onpay.my/order/form/1
3. Buku “Dari Madrasah Ke Parlimen: Warisan Perjuangan 70 Muktamar Pas 1951-2024” pula boleh didapatkan dengan menghubungi Pustaka Qamar di nombor telefon 019-9846756.
* Penulis, Dr Kamarul Zaman Yusoff, adalah pengkaji sejarah Pas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
