Pengusaha stesen minyak didenda RM30,000 jual diesel melebihi had


IPOH - Seorang pengusaha stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin selepas mengaku bersalah menjual diesel bersubsidi melebihi had dibenarkan pada tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Chew Jo Seng, 30, dan memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Jo Seng selaku pengarah Caltex Ayer Tawar Service Station Sdn Bhd menjual 1,395.348 liter diesel ke dalam tangki tambahan sebuah lori di stesen minyak berkenaan pada 1 Februari 2024.
Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang mengehadkan penjualan diesel kepada kenderaan berdaftar Malaysia tidak melebihi 250 liter sekali transaksi ke dalam tangki asal.
Kesalahan dilakukan di stesen minyak di Jalan Sitiawan, Ayer Tawar kira-kira jam 9 pagi dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Hanif Abd Azis, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, anggota KPDN Cawangan Manjung mendapati seorang pemandu lori berusia 46 tahun mengisi diesel secara berulang sebanyak lima kali ke dalam tangki tambahan dengan bayaran kira-kira RM3,000 antara jam 6.40 pagi hingga 8.30 pagi pada hari kejadian.
Ringkasan AI
- Pengusaha stesen minyak didenda RM30,000 kerana menjual diesel bersubsidi melebihi had dibenarkan
- Tertuduh perlu menjalani penjara 12 bulan jika gagal bayar denda
- Jo Seng menjual 1,395.348 liter diesel melebihi had 250 liter sekali transaksi
- Melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974
- Kesalahan boleh dihukum hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

