Op PUU: Tiada lagi amaran, salah terus saman - Polis

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran tindakan saman akan terus dikenakan terhadap mana-mana pesalah lalu lintas di ibu kota bermula 1 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, langkah itu diambil selepas sebulan program advokasi menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya mendapati masih ramai pengguna jalan raya gagal mengambil serius kempen berkenaan.
"Tiada lagi amaran, saman serta-merta akan dikenakan sekiranya kita dapati mana-mana pelanggaran peraturan lalu lintas dilakukan pengguna jalan raya.
"Tempoh advokasi sebelum ini seolah-olah tidak memberi kesan kerana ramai yang tetap berdegil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam sebuah rancangan televisyen di ibu kota pada Isnin.
Katanya, sepanjang tempoh kempen bermula 6 September lalu, hampir 70,000 notis advokasi dikeluarkan di kawasan tumpuan sekitar ibu kota.
"Jumlah ini membimbangkan kerana menunjukkan mereka sedar melakukan kesalahan, tetapi masih sengaja melanggarnya.
"Antara kesalahan paling kerap dikesan ialah parkir berlapis sehingga mengganggu aliran trafik, berhenti di atas garisan putih dan lintasan pejalan kaki, melanggar lampu isyarat merah serta tidak memakai atau mengikat tali topi keledar dengan sempurna," katanya.
Menurutnya, penguatkuasaan penuh itu akan dilakukan secara berterusan, bukan bermusim bagi memastikan masyarakat lebih berdisiplin di jalan raya.
"Operasi ini dijalankan 24 jam sehari, sepanjang tahun di seluruh Kuala Lumpur.
"Semua anggota dari setiap daerah akan digerakkan, operasi ini tiada tempoh akhir, ia akan diteruskan sehingga kita melihat perubahan sikap positif dalam masyarakat," katanya.
Fadil berkata, pihaknya turut mengaplikasikan pendekatan moden dengan memanfaatkan media sosial bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.
"Kita akan gunakan semua platform media sosial semaksimum mungkin untuk menularkan pesalah trafik.
"Biar mesej sampai, biar mereka rasa malu dan sedar perbuatan mereka diperhatikan," katanya.
Tambahnya, matlamat utama tindakan ini bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, tetapi mendidik masyarakat supaya budaya pematuhan peraturan dapat dibudayakan.
"Kita mahu warga Kuala Lumpur menjadi contoh dengan tahap pematuhan undang-undang setanding negara maju," katanya.
Ringkasan AI
- Polis Kuala Lumpur akan mula menyaman pesalah lalu lintas tanpa amaran bermula 1 Oktober
- Langkah ini diambil selepas program advokasi Op Patuh Undang-Undang gagal membuat pengguna jalan raya mengambil serius kempen
- Hampir 70,000 notis advokasi telah dikeluarkan sepanjang kempen untuk kesalahan seperti parkir berlapis dan melanggar lampu isyarat merah
- Operasi penguatkuasaan akan dilakukan 24 jam sehari sepanjang tahun di seluruh Kuala Lumpur
- Pendekatan moden termasuk penggunaan media sosial akan digunakan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

