Kuala Lumpur dan masa depan perlindungan sosial global

Apabila sebuah pesawat terhempas secara tragis dalam insiden di Elmina pada tahun 2023, dua pekerja gig dilaporkan terlibat dalam tragedi itu. Seorang daripadanya baru sahaja memperbaharui perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Hari ini, keluarganya yang bersedih menerima pencen bagi menjamin kelangsungan hidup mereka. Manakala seorang lagi, yang tidak meneruskan carumannya, meninggalkan keluarga yang tiba-tiba terdedah kepada kerentanan dan ketidakpastian kepada masa depan mereka.
Kemalangan, tempat dan masa yang sama. Namun, dua implikasi yang sama sekali berbeza disebabkan oleh satu faktor iaitu perlindungan keselamatan sosial.
Saya berkongsi kisah ini di Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) di Kuala Lumpur, yang mana buat pertama kalinya Asia Tenggara menjadi tuan rumah kepada perhimpunan global terbesar pemimpin perlindungan sosial.
Selama seminggu, ibu negara kita menjadi titik pertemuan idea, reformasi dan perpaduan dalam pelbagai aspek, dan juga merupakan pusat perlindungan sosial global.
Perjalanan Malaysia dalam sektor ini adalah sangat peribadi bagi saya. Ayah saya menghabiskan hidupnya di kilang manakala kedua-dua datuk saya pula seorang tukang kayu dan pemandu lori.
Mereka bekerja keras, hidup bermaruah dan memberikan segalanya kepada keluarga tetapi mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial.
Kisah ini bukanlah unik tetapi ia mencerminkan kisah rakyat Malaysia yang tidak terkira bilangannya yang tenaganya membina negara ini namun kekal tidak dilindungi.

Demi mereka dan demi pekerja hari ini, kita bertindak. Sepanjang sedekad yang lalu, kita telah meluaskan perlindungan PERKESO kepada lebih 10 juta pekerja, peningkatan sebanyak 63 peratus.
Kita mengiktiraf suri rumah melalui skim LINDUNG Kasih, memperluaskan perlindungan kepada lebih setengah juta wanita yang kerja mereka tidak berbayar namun sentiasa menyokong care economy kita.
Sementara itu, dua tahun lalu, Parlimen meluluskan Akta Pekerja Gig untuk menjamin perlindungan wajib bagi berjuta penunggang dan pemandu yang membentuk tulang belakang ekonomi.
Pembaharuan ini bukan hanya berkisarkan keadilan, ia juga bertunjangkan kemakmuran.
Penyelidikan oleh Persatuan Perlindungan Sosial Antarabangsa (ISSA) menunjukkan bahawa setiap dolar yang dilaburkan dalam perlindungan sosial menjana kesan 2.5 kali ganda dalam ekonomi.
Nilai kemanusian sejagat

Di Malaysia, kita telah melihat bahawa meluaskan perlindungan dan meningkatkan faedah tidak melemahkan sistem, malah mengukuhkannya.
Tuntutan kekal stabil, tadbir urus telah bertambah baik, dan inovasi seperti pemprosesan yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) memastikan kecekapan dan kepercayaan terpelihara.
Misi kita dipandu oleh apa yang saya panggil kerangka 3K iaitu Kebajikan Pekerja, Kemahiran Pekerja, dan Keberhasilan Pekerja (produktiviti).
Tetapi di atas segalanya, ia berpaksikan pada K keempat - Karamah Insaniah, iaitu maruah kemanusiaan.
Inilah intipati Malaysia Madani, sebuah masyarakat yang menghargai setiap insan bukan sekadar untuk kemahiran mereka tetapi untuk kemanusiaan mereka.
Semasa Kuala Lumpur mengalu-alukan dunia ke WSSF 2025, kita tidak hanya mempamerkan pembaharuan yang mencerminkan kepercayaan kita terhadap maruah dan perlindungan untuk semua.
Pada masa sama, kita juga membuka diri untuk belajar, berkongsi dan membina kerangka global yang lebih kukuh bersama.
Perlindungan sosial memperjuangkan persamaan taraf yang agung pada zaman kita.
Ia adalah jaminan bahawa pekerja, keluarga dan komuniti tidak akan dibiarkan berjuang sendiri pada saat krisis.
Ia adalah tugas kita sebagai pembuat dasar dan sebagai komuniti global untuk memastikan janji ini menjangkau setiap insan.
Malaysia bersedia untuk memimpin dan mendengar. Kuala Lumpur mungkin telah menjadi ibu kota untuk perlindungan sosial global selama seminggu tetapi semangat perpaduan yang ditempa di sini mesti diteruskan dengan lebih lama.
Pada akhirnya, usaha ini bukan hanya mengenai sistem atau dasar, ia adalah mengenai insan, maruah mereka dan hak mereka untuk masa depan yang lebih terjamin.

Steven Sim Chee Keong
Menteri Sumber Manusia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
