JKDM Selangor gagalkan cubaan seludup barangan bernilai RM6 juta

Mohamad Azhar (tiga,kanan) ketika sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini pada Isnin.
Mohamad Azhar (tiga,kanan) ketika sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini pada Isnin.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Empat cubaan penyeludupan melibatkan pelbagai komoditi dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM6 juta berjaya ditumpaskan menerusi operasi berasingan sepanjang Julai dan Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kejayaan itu adalah hasil tindakan pantas anggota penguat kuasa di Pelabuhan Klang, Jalan Telok Gong dan di sebuah gudang di Pulau Indah.

Mohamad Azhar
Mohamad Azhar

Beliau berkata, kes pertama membabitkan rampasan dua kontena mengandungi 654 unit mangkuk tandas serta 1,600 unit singki yang diimport tanpa sijil kelulusan di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 15 Julai dan 1 Ogos lalu.

"Nilai rampasan dianggarkan RM852,400 dengan duti dan cukai berjumlah RM319,650, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,172,050.

Antara beberapa barangan dirampas.
Antara beberapa barangan dirampas.

"Pengimport membuat ikrar tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan menyatakan barangan sebagai ‘Toilet Cover Seat’ dan ‘Bathroom Cabinet’ bagi mengelak keperluan permit import Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya ketika sidang akhbar di Wisma Kastam Pulau Indah di sini pada Isnin.

Kabinet bilik air dan penutup tandas duduk antara barangan import dirampas.
Kabinet bilik air dan penutup tandas duduk antara barangan import dirampas.

Katanya, bagi kes kedua, tiga kontena sejuk beku mengandungi 75,752 kilogram (kg) daging ayam dan itik sejuk beku tanpa permit import ditahan pada 23 Julai dan 11 Ogos lalu di Telok Gong serta Zon Bebas Pelabuhan Utara.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Azhar (dua,kanan) menunjukkan beberapa barangan dirampas menerusi siri operasi dijalankan sepanjang Julai dan Ogos lalu.
Mohamad Azhar (dua,kanan) menunjukkan beberapa barangan dirampas menerusi siri operasi dijalankan sepanjang Julai dan Ogos lalu.

"Pemeriksaan mendapati terdapat 51.6 tan ayam sejuk beku bernilai RM1,270,553 dan 24.2 tan itik sejuk beku bernilai RM406,164.

"Jumlah keseluruhan sitaan termasuk duti dan cukai ialah RM1,930,827. Bagi mengaburi pihak berkuasa, dagangan diikrarkan sebagai ‘Frozen Mixed Vegetables’ dan ‘Frozen French Fries’," katanya.

Menurutnya, dalam satu lagi kes pada 11 Julai lalu, sebuah kontena berisi pelbagai barangan campur ditahan di Zon Bebas Pelabuhan Utara.

"Pemeriksaan menemui 4,462.50 liter minuman keras dan 360 unit telefon pintar dipercayai diimport tanpa permit. Minuman keras memerlukan permit Ketua Pengarah Kastam manakala telefon pintar perlu kelulusan SIRIM.

"Nilai minuman keras dianggarkan RM36,125 dengan duti dan cukai RM86,046, manakala telefon pintar bernilai RM193,800 dengan duti dan cukai RM9,690, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan ialah RM325,661," katanya.

Mohamad Azhar berkata, kes keempat pada 10 Ogos membabitkan rampasan 18,500kg bijih timah bernilai RM2,625,150 di sebuah gudang di Pulau Indah hasil maklumat pasukan Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA).

"Pemeriksaan mendapati 370 guni bijih timah disimpan dalam 16 palet dengan Borang Kastam yang disyaki palsu.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 133(1)(c) Akta Kastam 1967 kerana memalsukan dokumen pengikraran," katanya.

Jelasnya, kejayaan ini membuktikan komitmen JKDM Selangor dalam memerangi penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!