Sindiket seludup ganja guna kotak tekstil tumpas

SEPANG – Taktik licik sindiket dadah menyembunyikan bunga ganja dalam sarung bantal dan kotak berlabel tekstil terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan tiga cubaan penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
Hasil tiga operasi berasingan pada 18, 28 dan 29 April di Pusat Mel dan Kurier Pos Malaysia, KLIA, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor berjaya merampas 18,348 gram ganja dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta.
Pemangku Pengarah Kastam Selangor, Tun Norlela Azumi Ramli berkata, pihaknya mengesan percubaan mengeksport lima kotak kurier menggunakan borang penghantaran palsu yang diikrarkan sebagai barangan seperti bedding, kusyen, pakaian, apron dan kostum.
"Dalam kes pertama pada 18 April, kotak yang diikrarkan sebagai ‘bedding’ mengandungi dua bungkusan plastik berisi bunga ganja dibalut dalam sarung bantal seberat 2,609 gram bernilai RM193,943," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes kedua pula dikesan pada 28 April hasil risikan Pasukan COBRA dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, melibatkan dua kotak kurier yang diikrarkan sebagai cover kusyen dan pakaian.
"Kotak pertama mengandungi lima bungkusan ganja seberat 5,255 gram bernilai RM597,898, manakala kotak kedua menyimpan enam bungkusan plastik berisi 3,140 gram ganja dengan nilai RM307,720.
"Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kotak ini ialah 8,395 gram bernilai RM905,618," katanya.
Menurutnya, kes ketiga pula berlaku pada 29 April apabila dua lagi kotak yang diikrarkan sebagai apron dan costume diperiksa.
"Kotak pertama menyimpan empat bungkusan ganja seberat 4,000 gram bernilai RM392,000, manakala kotak kedua mengandungi lapan bungkusan ganja seberat 3,344 gram bernilai RM327,712.
"Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ketiga ini adalah 7,344 gram dengan nilai RM719,712," katanya.
Tun Norlela berkata, kesemua rampasan dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"JKDM turut menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk aktiviti penyeludupan termasuk dadah kerana ia bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan awam.
"Kami mengalu-alukan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

