Sorok dadah dalam bingkai gambar

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menumpaskan sindiket yang menyembunyikan dadah jenis methamphetamine bernilai RM800,000 di dalam bingkai gambar semasa pemeriksaan di Pusat Mel dan Kurier Pos Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, baru-baru ini.
Pemeriksaan itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor pada 29 April lalu.
Pemangku Pengarah Kastam Negeri Selangor, Tun Norlela Azumi Ramli berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas dua kotak mendapati terdapat dadah yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar.
"Anggaran nilai dagangan dalam dua kotak itu bernilai RM800,000 dengan berat 4 kilogram (kg).
"Barangan itu telah disita dan dibawa balik ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan ialah membuat ikrar tidak benar sebagai barangan permainan, beg permainan serta bingkai bagi mengelak dikesan JKDM.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
"Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!