Cubaan seludup hidupan liar RM20,000 ke India tumpas

SEPANG – Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar beberapa spesies hidupan liar bernilai kira-kira RM20,000 berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan, dalam operasi kira-kira jam 8.10 malam di Terminal 1, pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Polis Bantuan KLIA mengesan tindakan mencurigakan seorang penumpang sebelum melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya.
"Pemeriksaan lanjut menemukan haiwan disyaki seekor ungka dan dua ekor disyaki cuscus yang cuba dibawa keluar menggunakan penerbangan ke Mumbai, India.
"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM20,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, suspek berusia 46 tahun itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
"Semua barang kes turut diserahkan kepada Perhilitan KLIA bagi tindakan lanjut," katanya.
AKPS memberitahu, kejayaan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar selain memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan.
Ringkasan AI
- Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar hidupan liar bernilai RM20,000 di KLIA dipatahkan
- Operasi bersama AKPS, Perhilitan serta Polis Bantuan KLIA mengesan tindakan mencurigakan penumpang
- Penemuan seekor ungka dan dua ekor cuscus dalam bagasi yang hendak dibawa ke Mumbai
- Suspek berusia 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut
- Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

