Sindiket pemerdagangan hidupan liar tumpas, gading gajah dirampas

Pelanduk yang telah mati antara yang ditemui pasukan serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan serentak di Selangor dan Pahang. Gambar kecil: Abdul Kadir
Pelanduk yang telah mati antara yang ditemui pasukan serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan serentak di Selangor dan Pahang. Gambar kecil: Abdul Kadir
A
A
A

 

SHAH ALAM - Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan serentak di Selangor dan Pahang berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan hidupan liar dengan nilai rampasan berjumlah RM398,818, baru-baru ini.

Operasi dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, enam serbuan dijalankan selama tiga hari bermula 25 Jun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, satu tindakan diambil menerusi sekatan jalan raya di Temerloh, Pahang, manakala lima serbuan masing-masing satu di Klang dan empat di Hulu Selangor.

Perhilitan turut merampas ratusan ekor burung antaranya jenis serindit, murai batu dan bayan puling.
Perhilitan turut merampas ratusan ekor burung antaranya jenis serindit, murai batu dan bayan puling.

"Tindakan ini berjaya merampas ratusan ekor burung antaranya jenis serindit, murai batu dan bayan puling.

"Kita turut menemui dua batang disyaki gading gajah, daging hidupan liar disyaki babi hutan dan pelanduk," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 18 butir peluru penabur, sebilah parang, tiga perangkap kamera antara peralatan yang dirampas dipercayai digunakan sindiket dalam kegiatan pemburuan.

Tambah Abdul Kadir, pihaknya percaya kes tersebut melibatkan sindiket berlainan.

"Siasatan awal mendapati kegiatan penjualan spesies burung yang ditangkap di habitat liar menggunakan medium media sosial.

"Perhilitan juga mengesan aktiviti penggunaan perangkap kamera oleh pemburu haram sebagai alat pengesan atau cerapan untuk mengesan kehadiran hidupan liar di lokasi pemburuan," ujarnya

Tegasnya, tindakan pantas itu bukti komitmen serius kerajaan dalam memerangi jenayah hidupan liar yang mengancam kelestarian biodiversiti negara.

"Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan ke talian hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau melalui laman web wildlife.spab.gov.my," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!