TDM tumpas cubaan seludup 10 ekor lembu bernilai RM50,000

KOTA BHARU - Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menumpaskan cubaan penyeludupan 10 ekor lembu di sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Menurut kenyataan 2 Divisyen pada Jumaat, rampasan haiwan ternakan yang dibawa masuk ke Malaysia merentasi Sungai Golok sekitar 9 malam itu berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
"Sewaktu serbuan dilaksanakan, kesemua empat penyeludup berjaya melarikan diri ke Thailand dan telah meninggalkan 10 ekor lembu di kawasan Malaysia dengan nilai anggaran rampasan sebanyak RM50,000.
"Satu laporan polis telah dibuat berkaitan rampasan haiwan ternakan tersebut di Balai Polis Bukit Bunga, Tanah Merah sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
