PTPTN perkukuh budaya menabung melalui BMS 2025

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran BMS 2025 pada Sabtu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran BMS 2025 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh budaya penabungan apabila melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 bersempena sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut setiap 31 Oktober.

Majlis pelancaran peringkat nasional itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim.

Program tahunan itu memasuki edisi kelapan sejak diperkenalkan pada 2018 dan berlangsung dari 26 September hingga 2 November dengan pelbagai pengisian menarik di seluruh negara.

Mengangkat tema 'Pengembaraan' dan mengekalkan tagline 'Jom Jadi Superhero Anak Anda', BMS 2025 menekankan kepentingan ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan merancang kewangan pendidikan mereka sejak awal.

Pelbagai aktiviti turut disediakan antaranya pertandingan mewarna, Action Song, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race. 

Orang ramai juga berpeluang memperoleh cenderahati eksklusif BMS 2025 dengan membuat penabungan melalui Simpan SSPN.

Anesee (lima dari kanan) menyampaikan replika kad berjumlah RM3,750 kepada Juara Pertandingan Action Song Peringkat Kebangsaan 2025.
Anesee (lima dari kanan) menyampaikan replika kad berjumlah RM3,750 kepada Juara Pertandingan Action Song Peringkat Kebangsaan 2025.

Anesee berkata, menabung untuk pendidikan tinggi adalah pelaburan jangka panjang yang bijak dan bertanggungjawab terutama dalam mendepani kos pengajian semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 31 Ogos lalu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima sebanyak RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun dibuka. 

"PTPTN menyasarkan kutipan deposit Simpan SSPN berjumlah RM220 juta sempena BMS tahun ini," katanya.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan hingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.

Turut diadakan pada majlis pelancaran itu ialah penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik dan hadiah pemenang Pertandingan Action Song Peringkat Kebangsaan.

PTPTN yang juga agensi di bawah KPT menegaskan komitmen berterusan untuk memupuk kesedaran masyarakat agar menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan utama sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Anesee bergambar bersama barisan Pengurusan Kanan PTPTN, rakan strategik dan pengunjung yang turut memeriahkan Program BMS 2025 di sini pada Sabtu.
Anesee bergambar bersama barisan Pengurusan Kanan PTPTN, rakan strategik dan pengunjung yang turut memeriahkan Program BMS 2025 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Hwa, Bukit Pasir, Johor muncul juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN Peringkat Kebangsaan 2025 sekali gus mengharumkan nama sekolah pada pentas nasional.

Guru Panitia Bahasa Inggerisnya, Tay Sock Kar berkata, kemenangan itu hasil latihan intensif selama lebih dua bulan selepas terlebih dahulu menyertai diperingkat negeri.

"Kami sangat berbangga dan berbesar hati kerana berjaya meraih johan dalam pertandingan ini yang bukan sekadar menyerlahkan bakat murid, malah memberi kesedaran kepada mereka dan ibu bapa mengenai pentingnya menabung sejak kecil.

"Melalui latihan, murid dapat memahami kepentingan mengurus kewangan, membuat bajet dan membentuk tabiat menabung yang baik," tambah beliau.

Menurut Sock Kar, cabaran terbesar adalah menghasilkan idea persembahan selari dengan tema yang ditetapkan penganjur.

"Kami olah jalan cerita yang sesuai untuk dipersembahkan dan gembira usaha itu membuahkan hasil,” jelas beliau.

Seorang guru, Tan Wang, 50, menganggap Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan terbaik untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anaknya selain menawarkan perlindungan takaful bermanfaat.

Tan yang menetap di Kota Kemuning berkata, dia mula menabung dengan Simpan SSPN sejak beberapa tahun lalu semakin yakin selepas melihat kelebihan ditawarkan termasuk pelepasan cukai pendapatan dan kadar dividen yang kompetitif setiap tahun.

"Bagi saya selain dividen, manfaat takaful yang disediakan juga sangat penting sebagai perlindungan kepada anak-anak sekiranya berlaku sesuatu kepada ibu bapa,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Seorang pensyarah institusi pendidikan tinggi swasta, Mohd Saifullah Rusli, 38, berkata, kos pendidikan yang semakin meningkat mendorongnya memilih Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan utama bagi anak-anaknya.

Mohd Saifullah yang menetap di Cheras berkata, setakat ini empat daripada lima anaknya sudah mempunyai akaun Simpan SSPN, manakala anak bongsu belum didaftarkan kerana masih terlalu kecil.

"Bagi saya, pendidikan sangat penting kerana ia satu-satunya jalan untuk mengubah kehidupan. Oleh sebab itu, saya mula menabung sejak anak-anak masih kecil.

"Saya pilih Simpan SSPN kerana ia produk kerajaan yang lebih terjamin berbanding skim simpanan lain. 

"Selain itu, kempen dan promosi PTPTN juga semakin agresif dan berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya.

"Program ini sangat baik kerana memberi pendedahan terus kepada ibu bapa, cuma ia perlu diperluas lagi supaya lebih ramai sedar betapa pentingnya menabung untuk pendidikan anak-anak," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!