Lelaki 'kedekut' menyesal lepas bersara

Suzuki kesal setelah puluhan tahun hidup terlalu berjimat. Foto Agensi
Suzuki kesal setelah puluhan tahun hidup terlalu berjimat. Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Seorang lelaki Jepun berusia 67 tahun yang hanya dikenali sebagai Suzuki menyesal selepas puluhan tahun hidup berjimat, apabila menyedari wang simpanan besar yang dikumpul tidak mampu menggantikan masa berharga bersama isterinya yang telah meninggal dunia.

Suzuki, yang berasal daripada keluarga miskin, mula mencari pendapatan sendiri sejak di bangku sekolah menengah dengan bekerja sambilan di restoran.

Selepas mendapat pekerjaan tetap, dia memilih menyewa rumah murah yang jauh dari pejabat.

Suzuki memasak sendiri dan membawa bekal ke tempat kerja setiap hari, biasanya berisi tauge dan ayam, sambil menjalani gaya hidup amat berjimat.

Bagi mengurangkan bil elektrik, dia jarang menggunakan pendingin hawa, berjalan kaki atau berbasikal untuk bergerak dan tidak pernah makan di restoran.

Isterinya, yang juga rakan sekerja, memahami sikap tersebut. Namun selepas kelahiran anak mereka, Suzuki mengakui tidak lagi terlalu ketat dalam menyimpan wang.

Walaupun begitu, dia tidak pernah membeli rumah atau kereta. Hasil disiplin berkenaan, Suzuki berjaya mengumpul 35 juta yen (RM1.13 juta) dan pada usia 60 tahun, mengeluarkan sebahagian dana pencennya untuk dilaburkan, menjadikan jumlah asetnya mencecah 65 juta yen (RM2.08 juta).

“Wang ini jaminan untuk kecemasan dan hari tua,” katanya.

Namun, tidak lama selepas bersara, isterinya meninggal dunia akibat penyakit serius pada usia 66 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap dapat membawa isteri melancong dan makan di restoran lebih kerap, tetapi masa tidak dapat diputar kembali. Apa erti hidup jika hanya wang yang tinggal?” ujarnya.

Kisah Suzuki mencerminkan budaya berjimat keterlaluan di Jepun.

Tahun lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun turut menarik perhatian selepas berjimat lebih 20 tahun sehingga mengumpul 135 juta yen (RM4.3 juta), dengan hidangan harian hanya nasi, sayur masin dan sebiji plum masam. - Agensi

Ringkasan AI

  • Suzuki, lelaki Jepun 67 tahun, menyesal hidup berjimat cermat selepas isterinya meninggal dunia
  • Memulai pendapatan sejak sekolah menengah dengan bekerja sambilan di restoran
  • Menjalani gaya hidup berjimat dengan menyewa rumah murah dan memasak sendiri
  • Mengumpul 35 juta yen dan berjaya menambah aset menjadi 65 juta yen pada usia 60 tahun
  • Mengekspresikan penyesalan tidak membawa isteri melancong dan makan di restoran lebih kerap selepas isterinya meninggal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!