BUDI95: 'Pengisian mudah, pantas' - Polis

Syafiqah. Gambar kecil dari kiri: Nor Suria Hidayah, Ahmad Zaki Yamani
Syafiqah. Gambar kecil dari kiri: Nor Suria Hidayah, Ahmad Zaki Yamani
A
A
A

SHAH ALAM - 'Pengisian yang mudah dan pantas'. Itulah reaksi anggota polis, Lans Koperal Syafiqah Salim, 32, selepas pertama kali menggunakan aplikasi Setel di Stesen Petronas Seksyen 13 di sini pada Sabtu.

Syafiqah merupakan antara 300,000 anggota tentera dan polis yang menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan tengah malam tadi.

Dia yang bertugas di Balai Polis Seksyen 9 berkata, penebusan menggunakan aplikasi memudahkan tanpa perlu beratur untuk membuat pengesahan di kaunter bayaran.

"Awalnya saya menggunakan MyKad di terminal yang disediakan tetapi dua kali ditolak menyebabkan saya terus memuat turun aplikasi Setel.

"Dengan aplikasi ini dalam masa tidak sampai tiga minit, saya sudah selesai membuat pengisian petrol, memang pantas," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Menurutnya, dengan inisitiatif kerajaan itu, dia dapat menjimatkan perbelanjaan bahan bakar bagi kereta yang digunakan.

Pengalaman berbeza dikongsikan Koperal Ahmad Zaki Yamani Abd Aziz, 46, ketika mengisi petrol bersubsidi RON95 secara wang tunai.

"Dibantu petugas stesen, saya membuat pembayaran secara tunai di kaunter kerana tidak mempunyai aplikasi Setel.

"Bagaimanapun, proses pembayaran juga tidak mengambil masa yang lama dan baki penggunaan tertera pada resit pembayaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia berpendapat penggunaan aplikasi lebih memudahkan dan akan memuat naiknya untuk pengisian seterusnya.

Bagi Sarjan Nor Suria Hidayah Azhar, 36 daripada Kementerian Pertahanan, pengisian kali ini mudah dengan menggunakan MyKad di terminal pam yang disediakan tanpa perlu ke kaunter bayaran.

"Semakan dibuat menerusi portal rasmi rasmi dan gembira menjadi kumpulan terawal membuat pengisian petrol dengan harga baru.

"Subsidi yang diberikan kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kuota 300 liter yang diperuntukkan amat mencukupi untuk perjalanan dari rumah ke tempat kerja," katanya.

Sebelum ini media melaporkan anggota tentera dan polis merupakan kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu.

Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 Sept, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September ini.

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Lans Koperal Syafiqah Salim menggunakan aplikasi Setel untuk membeli petrol bersubsidi RON95
  • Anggota tentera dan polis membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif Budi Madani RON95
  • Penggunaan aplikasi Setel memudahkan proses pembelian tanpa perlu beratur di kaunter bayaran
  • Inisiatif kerajaan ini membantu menjimatkan perbelanjaan bahan bakar bagi pengguna
  • Selepas anggota tentera dan polis, subsidi petrol ini akan dinikmati oleh penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) golongan B40 dan warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!