'Tak sampai dua minit dah siap isi minyak'

KUALA TERENGGANU – Hari pertama pelaksanaan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sabtu berjalan lancar.
Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar pusat bandar di sini mendapati sistem berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan.
Antara pengguna terawal, Asisten Superintenden Zulfadli Zulkifli berkata, beliau hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melengkapkan transaksi pembelian petrol.
Katanya, pemilihan stesen minyak memainkan peranan penting kerana stesen yang lebih besar turut menyediakan terminal untuk MyKad.
“Penggunaan MyKad terus di pam minyak memudahkan urusan kerana pengguna tidak perlu lagi ke kaunter untuk pengesahan kelayakan subsidi.
“Saya amat berpuas hati dengan sistem yang disediakan kerana tak sampai dua minit dah siap isi minyak,” katanya ketika ditemui di stesen minyak di sini pada Sabtu.
Seorang lagi anggota polis, Mohammad Asyraf Mohammad Fetri, turut berpuas hati walaupun mengakui terdapat sedikit kekeliruan daripada kakitangan stesen minyak pada hari pertama pelaksanaan sistem tersebut.

“Bagi saya proses itu mudah dan cepat, cuma mungkin ini hari pertama, jadi pekerja ada sedikit keliru nak guna macam mana tetapi dari segi pelaksanaan semuanya baik.
“Sistem ini juga lebih menjimatkan masa dan saya nampak tiada masalah sebab semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Mariam Abu Hassan menyifatkan subsidi BUDI95 banyak membantu meringankan beban pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun ada yang kata tidak banyak beza daripada harga pasaran tetapi bagi saya subsidi ini sangat membantu terutama mereka yang susah dan banyak tanggungan.
“Terima kasih juga kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada kami anggota PDRM menjadi antara yang terawal menggunakan BUDI95 ini,” katanya.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan pada Sabtu.
Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 September, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif pada 30 September ini.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan subsidi petrol Budi Madani RON95 untuk anggota PDRM dan ATM berjalan lancar
- Sistem pembelian petrol dengan MyKad memudahkan transaksi tanpa perlu ke kaunter
- Pengguna berpuas hati dengan kelancaran dan kecepatan sistem baru ini
- Subsidi ini dianggap membantu meringankan beban khususnya bagi golongan berpendapatan rendah
- Sejumlah 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran RM2.05 seliter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
