Pasangan PJJ hadapi cabaran kuota 300 liter RON95

Pemberian siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 disambut baik rakyat.
Pemberian siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 disambut baik rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) disambut baik rakyat, namun bagi pasangan yang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ), jumlah itu masih mencabar untuk menampung kos perjalanan mingguan.

Bagi jurutera, Mohd Zurrayen Abdul Mutalib, 39, yang bekerja di Puchong dan menetap di Kajang, kuota 300 liter sebulan bagi RON95 perlu diperuntukkan untuk menampung perjalanan harian ke tempat kerja.

Mohd Zurrayen
Mohd Zurrayen

Katanya, kuota itu juga akan digunakan untuk perjalanan mingguan ke Johor bagi bertemu isterinya, Nurshuhada Abd Kadir, 32, yang tinggal di Johor Bahru.

“Sebagai rakyat Malaysia saya sangat bersyukur dengan penurunan enam sen itu. Namun 300 liter yang diberikan masih mencabar, terutama bagi pasangan PJJ.

“Jarak antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru sekitar 330 kilometer sehala, bermakna setiap perjalanan pergi balik mencecah lebih 600 kilometer.

“Ditambah dengan keadaan lebuh raya yang menjadi laluan utama di antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang kerap mengalami kesesakan,” jelasnya yang baru sebulan mendirikan rumah tangga.

Mohd Zurrayen berkata, keadaan itu memerlukan pengurusan kewangan yang lebih teratur kerana sebahagian besar perbelanjaan bulanan digunakan untuk kos minyak.

Artikel Berkaitan:

“Diharap kerajaan akan menambah kuota dari masa ke masa memandangkan keperluan perjalanan setiap individu berbeza,” ujarnya.

Penjawat awam, Razaman Ridzuan, 49, yang berulang-alik setiap minggu di antara Bangi, Selangor dan Kuantan, Pahang pula berpendapat had kelayakan 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95 tidak menjejaskan keperluan perjalanannya.

Razaman
Razaman

Menurutnya, dengan jarak perjalanan kira-kira 520 kilometer setiap minggu, penggunaan petrolnya sekitar 150 hingga 200 liter sebulan, masih di bawah had ditetapkan iaitu 300 liter.

“Ia sangat membantu. BUDI95 membolehkan saya berulang dari Kuantan ke Bangi setiap hujung minggu tanpa beban kewangan besar,” ujarnya.

Razaman berpandangan, had 300 liter sebulan adalah adil dan praktikal.

“Berdasarkan dapatan kerajaan, lebih 99 peratus pemandu tidak melepasi jumlah itu. Bagi saya sendiri yang berulang dari Kuantan ke Bangi, had ini memadai,” ujarnya.

Mengenai proses penebusan subsidi, Razaman menyifatkannya sangat mudah kerana hanya perlu mengimbas MyKad di pam sebelum mengisi minyak seperti biasa.

“Jika ada masalah, saya boleh guna e-dompet seperti Setel atau Touch ‘n Go. Ini menjimatkan masa, terutamanya ketika kesesakan hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, di SEREMBAN, siling kelayakan 300 liter RON95 sebulan bagi pengguna yang berulang-alik ke tempat kerja dari Seremban ke Kuala Lumpur dilihat tidak mencukupi dan dibimbangi akan menambah beban kewangan bulanan terutamanya bagi golongan berkeluarga.

Pemilik syarikat kreatif, Hafiz Fudzi, 38, berkata, penggunaan harian petrol boleh mencecah RM30 hingga RM40, bergantung kepada jenis kenderaan, kesesakan lalu lintas serta kos tambahan seperti tol dan parkir.

Hafiz
Hafiz

“Purata penggunaan minyak bulanan boleh mencecah antara 400 hingga 500 liter, dan itu tidak termasuk perjalanan pada hujung minggu bersama keluarga.

“Lebih RM800 diperuntukkan untuk kos petrol sebulan. Bagi saya jumlah 300 liter yang ditetapkan kerajaan hanya menampung keperluan asas dan bukannya penggunaan sebenar dalam situasi semasa.

“Bagi kelompok yang berulang-alik secara harian ini, harap turut diberikan pengecualian had seperti e-hailing agar kami tidak dibebani dengan kos tambahan susulan pelaksanaan BUDI95.

“Memang ada baiknya dengan kawalan melalui MyKad yang boleh membanteras penyelewengan subsidi ke negara jiran, tetapi pelaksanaan biarlah tidak membebankan pengguna secara keseluruhan,” katanya.

Kakitangan awam, Fadilah Ahmad, 44, yang berulang-alik dari Seremban ke Putrajaya pada setiap hari bekerja pula berkata, had 300 liter yang ditetapkan kerajaan dianggap masih mencukupi bagi menampung kos perjalanan hariannya.

Fadilah
Fadilah

“Purata penggunaan minyak saya sekitar 270 liter untuk 25 hari bekerja, walaupun kadang-kadang perlu ikut jalan yang lebih jauh disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dalam memberikan subsidi minyak kepada rakyat, namun saya harap agar mekanisme subsidi ini terus diperkemaskan dan dipantau agar tidak disalahgunakan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pemberian siling 300 liter RON95 menerusi BUDI95 disambut baik tetapi masih mencabar bagi pasangan PJJ Jurutera Mohd Zurrayen Abdul Mutalib mengatakan kuota 300 liter sebulan perlu diperuntukkan untuk perjalanan harian ke tempat kerja dan mingguan ke Johor Bahru Penjawat awam, Razaman Ridzuan berpendapat had 300 liter sebulan adalah adil dan memadai untuk perjalanannya dari Bangi ke Kuantan Pemilik syarikat kreatif, Hafiz Fudzi, melihat siling kelayakan 300 liter sebulan tidak mencukupi bagi pengguna berulang-alik Seremban-KL dan berharap diberikan pengecualian Kakitangan awam, Fadilah Ahmad yang berulang-alik dari Seremban ke Putrajaya berpendapat had 300 liter masih mencukupi untuk menampung kos perjalanan harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!