300,000 anggota tentera, polis mula nikmati inisiatif BUDI95 tengah malam ini

KUALA LUMPUR - Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan tengah malam ini.
Golongan berkenaan merupakan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lepas, tentang sistem subsidi bersasar petrol RON95 yang diberi secara berperingkat kepada rakyat.
Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 Sept, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 Sept ini.
Anwar sebelum ini berkata semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.
"Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” kata Perdana Menteri.
Setiap rakyat Malaysia yang layak, katanya akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan RM2.60 seliter. - Bernama
Ringkasan AI
- Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99
- Subsidi petrol diperluaskan kepada golongan B40 dan semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif
- Inisiatif BUDI MADANI RON95 bertujuan untuk meringankan beban rakyat dan diagihkan secara berperingkat
- Penerima layak mendapat siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter, kecuali pemandu e-hailing yang mempunyai pengecualian
- Bukan warganegara akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi, dianggarkan RM2.60 seliter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
