'Takkan kita nak tunduk dengan individu yang khuatir kebangkitan Harimau Malaya'- TMJ

Tunku Mahkota Ismail. Foto HRH CROWN PRINCES OF JOHOR
Tunku Mahkota Ismail. Foto HRH CROWN PRINCES OF JOHOR
A
A
A

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan tanpa alasan kukuh.

Baginda yang juga penggerak revolusi Harimau Malaya menegaskan FAM telah mengikuti segala proses dengan kerjasama rapat bersama FIFA dan kerajaan Malaysia, malah perkara itu turut mendapat kelulusan badan induk bola sepak dunia tersebut sebelum ini.

“Kenapa keputusan bertukar sekarang? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?” titah baginda dalam satu kenyataan.

Menurut baginda, keputusan hukuman itu dibuat tanpa memberikan penjelasan menyeluruh mengenai sebab-sebab di sebalik tindakan berkenaan.

Baginda menegaskan, FIFA terlalu cepat mengumumkan hukuman tersebut dalam domain awam sedangkan proses rayuan masih belum selesai.

Tunku Mahkota Ismail turut memuat naik surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai pemain warisan yang telah diluluskan.

Who was in New York? Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari JPN.

“Takkan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” tegas baginda.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menerusi kenyataan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, FAM didapati mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan laporan rasmi yang diterima selepas aksi tersebut, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (anggaran RM1.8 juta).

Sementara itu, setiap pemain terbabit turut menerima hukuman denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) selain penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan diumumkan.

Ringkasan AI

  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan tanpa alasan kukuh
  • FAM telah mengikuti semua proses dan mendapat kelulusan dari FIFA sebelum keputusan hukuman ini
  • Keputusan hukuman dibuat tanpa penjelasan yang menyeluruh dari FIFA
  • FIFA mengumumkan hukuman dalam domain awam sebelum proses rayuan selesai
  • FAM dan tujuh pemain dikenakan denda dan penggantungan aktiviti bola sepak atas tuduhan pemalsuan dokumen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!