Pasport tujuh pemain warisan bakal ditarik balik jika gagal di CAS?

PERSOALAN mengenai status kewarganegaraan tujuh pemain warisan negara kini menjadi tumpuan serius sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal dalam rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Peguam komersial dan sukan, Nik Erman Nik Roseli membangkitkan persoalan sama ada Malaysia bakal mengambil langkah drastik melucutkan pasport pemain terbabit menyamai tindakan tegas yang pernah dilakukan oleh negara Timor Leste.
Menurut beliau, Timor Leste sebelum ini bertindak membatalkan pasport sembilan pemain mereka selepas negara itu dilarang beraksi pada Piala Asia 2023 akibat penggunaan dokumen palsu termasuk sijil kelahiran.
FAM yang kini dalam proses rayuan di CAS sebelum ini turut mengakui terdapat kesilapan dalam penghantaran dokumen tersebut, satu pengakuan yang dilihat bakal menjadi bukti yang sukar untuk disangkal atau dilawan oleh badan induk itu.
"Adakah kita akan melihat tindakan (pembatalan pasport) yang sama diambil oleh Malaysia," katanya di laman X miliknya.
Nik Erman menegaskan bahawa polemik yang melanda badan induk bola sepak negara ketika ini tidak lagi menjadi isu sukan semata-mata, sebaliknya ia menyentuh isu kedaulatan undang-undang dan status kewarganegaraan yang amat serius.
Beliau turut mempersoalkan asas pemberian taraf kewarganegaraan kepada tujuh individu berkenaan yang didakwa tidak mempunyai darah keturunan Malaysia serta gagal memenuhi syarat di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Walaupun menteri menggunakan kuasa budi bicara (untuk meluluskan kerakyatan), adakah tindakan itu patut dan wajar?
"Selain itu, isu ini juga merupakan satu isu jenayah melibatkan pemalsuan dokumen, namun skandal ini seolah-olah hanya dibicarakan dari aspek sukan. Isu jenayah dan kewarganegaraan terus sepi. Ia sesuatu yang menyedihkan," katanya.
Terdahulu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terlibat dalam krisis ini ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Berdasarkan siasatan, FAM didakwa mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi tujuan pengesahan kelayakan pemain-pemain terbabit.
Susulan pelanggaran kod etika tersebut, FIFA telah mengenakan hukuman berat dengan mengarahkan FAM membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Manakala setiap pemain yang terlibat dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Ringkasan AI
- Persoalan mengenai status kewarganegaraan tujuh pemain warisan negara kini menjadi tumpuan serius
- Malaysia mungkin mengambil langkah drastik melucutkan pasport pemain seperti tindakan Timor Leste sebelum ini
- FAM dalam proses rayuan di CAS mengakui terdapat kesilapan dalam penghantaran dokumen
- Polemik ini menyentuh isu kedaulatan undang-undang dan status kewarganegaraan yang serius
- FIFA mendapati FAM dan tujuh pemain bersalah melanggar Kod Tatatertib berkaitan pemalsuan dokumen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
