Selangor FC sahkan tempat ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN

SELANGOR FC melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 walaupun terikat 1-1 menentang wakil Thailand BG Pathum United pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam ini.
Satu mata diraih itu membolehkan skuad Gergasi Merah menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua, berkongsi sembilan mata dengan satu lagi wakil Thailand yang juga juara bertahan, Buriram United, yang mengungguli kumpulan dengan kelebihan perbezaan jaringan.
Perlawanan bermula dengan tempo tinggi sebelum Selangor berdepan cabaran sukar apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-26, selepas pemain tengah import, Alvin Fortes, dilayangkan kad merah kerana mengasari Kritsada Kaman.
Beraksi dengan 10 pemain tidak mematahkan semangat tuan rumah apabila ketua pasukan Mohamad Faisal Abdul Halim meledak gol pembukaan pada minit ke-36 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti selepas memperdaya dua pemain pertahanan lawan.
Namun, BG Pathum United berjaya menyamakan kedudukan selepas hantaran silang Waris Choolthong dari sebelah kanan tertolak masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Selangor Richmond Ankrah pada minit ke-64.
Selangor kendalian bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon hampir bolos sekali lagi pada minit ke-77, namun penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi bertindak cemerlang menafikan tandukan kencang penyerang BG Pathum United Ikhsan Fandi Ahmad.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, menyaksikan BG Pathum United tersingkir daripada saingan selepas menamatkan saingan kumpulan di posisi ketiga dengan lapan mata.
Dalam perlawanan Kumpulan A yang lain, Buriram United berpesta gol membelasah Dynamic Herb Cebu dari Filipina 6-0 di laman sendiri, sekali gus melonjak ke tangga teratas untuk mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.
Di pentas separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik bermula Mei ini, Buriram United dijadual menentang naib juara Kumpulan B, manakala Selangor akan berdepan juara Kumpulan B.
Wakil Vietnam, Nam Dinh kini mengungguli saingan Kumpulan B dengan 12 mata menjelang pertemuan menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di tempat kedua dengan 10 mata pada aksi terakhir di Ninh Binh, esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Selangor FC melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026 walaupun seri 1-1 dengan BG Pathum United
- Skuad Gergasi Merah menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua, berkongsi sembilan mata dengan Buriram United
- Selangor bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-26 kerana pemain tengah import, Alvin Fortes, menerima kad merah
- Mohamad Faisal Abdul Halim jaringkan gol pembukaan untuk Selangor pada minit ke-36
- BG Pathum United tersingkir daripada saingan setelah hanya mendapat lapan mata dan menamatkan saingan di posisi ketiga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
