Dokumen palsu: FAM kemuka rayuan kepada FIFA

FAM akan membuat rayuan hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan.
FAM akan membuat rayuan hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.

"Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi mewakili Malaysia.

"Sehubungan itu, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dengan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain dan pasukan kebangsaan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi Sabtu.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Berikutan aduan rasmi diterima selepas perlawanan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Persatuan Bolasepak Malaysia akan rayu hukuman FIFA terhadap badan induk dan tujuh pemain warisan
  • FAM telah menerima keputusan rasmi dari FIFA dan mengemukakan semua dokumentasi dan prosedur secara telus
  • FIFA telah mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia sebelum menjatuhkan hukuman
  • Hukuman oleh FIFA berkaitan dengan pemalsuan dokumen untuk kelayakan pemain dalam perlawanan menentang Vietnam
  • FAM didenda CHF350,000 dan pemain didenda CHF2,000 serta digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!