‘Ini satu anugerah daripada ALLAH, saya perlu bersyukur’ – Faisal Halim

PEMAIN sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim, menganggap kebangkitannya bersama pasukan ketika ini sebagai satu anugerah daripada ALLAH selepas kembali menemui sentuhan berbisa dan memainkan peranan penting membantu skuad Gergasi Merah melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu, jaringan Faisal pada separuh masa pertama memastikan Selangor FC mengikat kelab gergasi Thailand, BG Pathum United, 1-1, sekali gus mengesahkan kemaraan pasukan ke pusingan empat terbaik kejohanan itu.
Faisal yang mesra disapa Mickey menyifatkan prestasi yang dipamerkannya ketika ini sebagai satu kurniaan yang tidak ternilai, lebih-lebih lagi selepas melalui detik sukar dalam kariernya sebelum ini.
“Saya rasa ini adalah satu anugerah daripada Tuhan. Saya patut bersyukur dan berterima kasih.
“Bagaimanapun, saya tidak akan berhenti di sini. Saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk meneruskan perjuangan saya,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain kebangsaan itu mengakui perjalanan untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaik bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya menuntut ketabahan fizikal dan mental yang tinggi.
Menurutnya, sokongan tidak berbelah bahagi daripada orang sekeliling menjadi kunci utama kepada kebangkitannya selepas berdepan ujian besar dalam hidup dan kerjaya.
“Sudah tentu saya tidak menyangka dengan apa yang saya ada sekarang. Bukan mudah untuk saya naik semula berada di tahap ini.
“Ia hasil sokongan rakan-rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, keluarga, isteri dan anak saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Faisal turut meluahkan rasa puas hati apabila sumbangannya membantu Selangor mara ke pusingan seterusnya, sekali gus memastikan pasukan terus berada di landasan tepat untuk memburu kejayaan di pentas serantau.
“Saya tidak boleh kata apa lagi. Bermain 90 minit, keputusan seri satu sama dan satu jaringan itu membawa Selangor ke separuh akhir. Kita nikmati masa ini, rehat dua atau tiga hari, insya-ALLAH,” katanya.
Untuk rekod, Faisal sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei 2024 yang mengakibatkannya mengalami kelecuran tahap empat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
Selepas kira-kira dua tahun bergelut melalui proses pemulihan fizikal dan mental, Faisal kini membuktikan semangat juang yang tinggi apabila kembali mempamerkan prestasi cemerlang di atas padang.
Jaringan pada aksi ACC itu juga menjadi gol ketujuhnya dalam lima perlawanan berturut-turut, selain keseluruhan 19 gol dicatatkan dalam semua saingan musim ini, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara tonggak utama Selangor FC ketika ini.
Ringkasan AI
- Faisal Halim menganggap kebangkitannya sebagai anugerah Allah setelah kembali menemui sentuhan berbisa bersama Selangor FC
- Jaringannya memastikan Selangor FC seri 1-1 dengan BG Pathum United dan mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN
- Faisal berterima kasih atas sokongan rakan sepasukan, keluarga, dan barisan kejurulatihan selepas melalui saat sukar dalam kariernya
- Kerusi berdepan ujian besar selepas menjadi mangsa simbahan asid, namun berjaya kembali dengan prestasi cemerlang
- Gol ketujuh Faisal dalam lima perlawanan berturut-turut membuktikan kontribusi pentingnya kepada Selangor FC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
