Detik hitam bola sepak Malaysia

Skuad Harimau Malaya mendapat tamparan hebat selepas tujuh pemain warisan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak. Foto Malaysia NT
Skuad Harimau Malaya mendapat tamparan hebat selepas tujuh pemain warisan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak. Foto Malaysia NT
A
A
A

BOLA sepak negara berdepan detik hitam apabila Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selain tujuh pemain warisan utama Harimau Malaya digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM bersalah kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen pemain naturalisasi.

Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain terbabit turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) selain digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Keputusan tersebut menimbulkan kemarahan penyokong yang rata-rata meluahkan kekecewaan di media sosial.

Ramai berpendapat kredibiliti FAM tercalar teruk selain menjadi tamparan hebat terhadap usaha kebangkitan bola sepak negara.

Lebih membimbangkan, situasi ini bukan sekadar melibatkan kehilangan pemain utama malah turut menjejaskan integriti serta reputasi bola sepak Malaysia di mata dunia.

Kesannya bakal memberi impak besar termasuk keyakinan penaja, imej negara serta karier tujuh pemain terbabit.

Malah, terdapat kebimbangan Harimau Malaya mungkin berdepan risiko dibatalkan penyertaan dalam kelayakan Piala Asia.

Artikel Berkaitan:

Biarpun FAM menyatakan akan membuat rayuan, namun mereka tetap berdepan tekanan hebat untuk membetulkan keadaan dengan ramai menganggap badan induk itu gagal memastikan semua dokumentasi diserahkan mengikut syarat ketat yang ditetapkan FIFA.

Persoalan utama yang kini berlegar ialah sama ada rayuan FAM mampu mengubah keputusan FIFA atau Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa bola sepak tanah air sedang melalui krisis terbesar dalam sejarah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!