Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia jelaskan jumlah hanya 12,500

A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk pimpinan jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia menjelaskan bahawa jumlah sebenar peserta ijtimak di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur ialah seramai 12,500 dan bukan 16,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong berkata, jumlah tersebut berdasarkan data rasmi Syukbah Pendataan yang sudah dibuat sejak sekian lama.

"11,000 antara mereka adalah penduduk tempatan dan setakat 19 Mac, laporan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menunjukkan bahawa 10,500 antara mereka telah pun disaring. Baki yang belum disaring berjumlah sekitar 500 orang semuanya.

"Laporan KKM untuk dua hari yang lepas belum lagi dikeluarkan. Kami jangka insya Allah bilangan yang belum disaring ini akan menurun lagi, menuju kepada 100 peratus pematuhan arahan pihak berkuasa," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Pada 19 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah mengumumkan seramai 10,553 ahli jemaah tabligh yang hadir perhimpunan pada berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu sudah diperiksa.

Berdasarkan maklumat kes pengesanan kluster kes Covid-19 bagi taburan kes tersebut, seramai 10,650 peserta tabligh dikesan membabitkan 40 markas.

Daripada jumlah itu, 10,553 sudah diperiksa dengan 4,986 sampel diambil dan 2,559 disahkan negatif manakala 513 positif.

Jadual itu juga menunjukkan seramai 659 sudah dimasukkan ke hospital manakala 6,627 di dalam pemantauan di rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang mengenalpasti baki 4,000 peserta perhimpunan yang masih belum menjalani saringan Covid-19 dengan sebahagian mereka dikhuatiri cuba menyorokkan tahap kesihatan masing-masing.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya menerima banyak laporan peserta ijtimak telah membuat pemeriksaan di pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya pada beberapa hari pertama.

Bagaimanapun, mereka telah diminta pulang ke rumah masing-masing dan melakukan kuarantin selama 14 hari apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum mereka dihantar pulang. Apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtimak belum lagi disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan daerah atau hospital berhampiran sehingga nama mereka direkod dan butiran mereka diambil.

"Kami juga ada terdengar bahawa di kalangan warga asing yang menetap di Malaysia, ribuan orang Rohingya dikatakan telah menyertai ijtimak ini.

"Rekod kami menunjukkan bahawa bilangan rakan seusaha Rohingya yang hadir ialah sekitar 200 orang dan rakan seusaha Myanmar pula berjumlah 150 orang," katanya.