SKPS: Syarikat belum terima fleet card boleh tuntut bayaran balik perbezaan harga

Armizan meninjau pendaftaran SKPS sempena Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara pada Jumaat.
Armizan meninjau pendaftaran SKPS sempena Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan membuka ruang kepada syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum memperoleh 'fleet card' untuk membuat permohonan tuntutan bayaran balik tunai subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan itu ditawarkan bagi memastikan syarikat yang layak tetap menerima manfaat subsidi sementara menunggu proses kelulusan fleet card daripada syarikat minyak.

“Pembayaran balik tunai ini akan membolehkan syarikat membuat tuntutan perbezaan harga petrol RON95 yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) iaitu RM2.05 seliter,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall di sini pada Jumaat.

Armizan menjelaskan, tuntutan tersebut hanya layak dibuat oleh syarikat yang telah mendaftar bawah SKPS dan memohon fleet card selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2025.

Katanya, bayaran balik tersebut merangkumi pembelian petrol bermula 30 September sehingga 31 Oktober, atau sehingga tarikh fleet card diterima, mana yang lebih awal.

“Permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dengan memuat naik resit pembelian sebagai bukti.

"Bayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan selesai,” katanya.

Jelas beliau, bermula 15 sehingga 25 September lalu, sebanyak 5,233 syarikat melibatkan 12,955 kenderaan di seluruh negara telah mendaftar melalui SKPS.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menggesa syarikat-syarikat pengangkutan awam darat dan barangan yang masih belum mendaftar supaya berbuat demikian segera bagi menikmati subsidi bahan api tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan membuka ruang kepada syarikat pengangkutan untuk membuat tuntutan bayaran balik subsidi petrol RON95 bermula 30 September
  • Kemudahan ini bagi memastikan syarikat layak menerima manfaat subsidi sementara menunggu kelulusan fleet card
  • Tuntutan dibuat untuk perbezaan harga petrol RON95 yang dibeli tanpa subsidi dengan harga subsidi RM2.05 seliter
  • Tuntutan layak dibuat oleh syarikat yang mendaftar bawah SKPS dan memohon fleet card selewat-lewatnya 31 Oktober 2025
  • Bayaran balik akan dikreditkan ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan selesai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!