Menteri Pertahanan, Mindef setuju tidak ulas kematian Palapes UTM

Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk tidak lagi mengulas atau mengeluarkan kenyataan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin sehingga siasatan kes itu selesai.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas pemohon menerima surat aku janji daripada pihak responden susulan notis usul yang difailkan ibu Allahyarham iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Peguam Naran Singh, yang mewakili Ummu Haiman berkata, pihaknya menerima salinan surat berkenaan pagi ini daripada Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek, yang mewakili responden.

"Kami mohon agar perenggan ketiga direkodkan iaitu Menteri Pertahanan dan MINDEF memberi satu aku janji bahawa tiada kenyataan lanjut berhubung siasatan kes ini akan dikeluarkan melalui mana-mana media sehingga ia selesai.

"Dengan itu, kami juga menarik balik larangan sementara yang dikeluarkan mahkamah pada 18 September lepas kerana surat aku janji sudah diterima,” katanya pada prosiding hari ini.

Hakim Adlin Abdul Majid kemudian merekodkan surat bertarikh 24 September itu yang dikeluarkan MINDEF dan mengesahkan penerimaannya oleh mahkamah.

Ummu Haiman memohon agar responden tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan siasatan termasuk laporan bedah siasat kedua mengenai kematian anaknya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, dapatan jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi mendapati tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Syamsul Haris.

Kubur Allahyarham digali semula pada 29 Ogos bagi bedah siasat kedua selepas perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam dikeluarkan pada 26 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih.- Bernama

Ringkasan AI

  • Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan setuju untuk tidak berkomentar tentang kematian pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin hingga siasatan selesai
  • Mahkamah Tinggi diberitahu mengenai persetujuan ini melalui surat aku janji yang diterima dari pihak responden
  • Salinan surat itu diterima dari Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden
  • Surat aku janji itu mengakibatkan penarikan balik larangan sementara mengeluarkan kenyataan oleh mahkamah
  • Kematian Syamsul Haris dilaporkan tidak melibatkan unsur penderaan menurut jawatankuasa siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!