Inkues kematian kadet Palapes akan diarah jika perlu - Peguam Negara

Syamsul Haris
Syamsul Haris
A
A
A

KOTA BHARU – Inkues terhadap kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Syamsul Haris Shamsuddin akan diarahkan sekiranya ada keperluan selepas penelitian laporan penuh siasatan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes berkenaan.

“Bagi kes Allahyarham Syamsul Haris, kami menunggu hasil siasatan yang dijalankan pihak polis termasuk laporan bedah siasat dan sebagainya.

“Saya jangka laporan penuh daripada polis akan diterima dalam masa terdekat dan jika ada keperluan saya akan mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan sebagaimana kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam, Program Kampung Angkat Madani, Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, peguam keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh memaklumkan laporan bedah siasat kedua dijangka diperoleh dalam tempoh tiga bulan.

Bedah siasat itu dilakukan selepas ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, membuat permohonan pada 19 Ogos lalu untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan tersebut serta mencadangkan prosiding inkues dimulakan.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor pada keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!