‘Mesej dari ALLAH untuk saya sertai misi ke bumi Palestin' - Sukarelawan termuda GSF wakili Malaysia

Haroqs antara sukarelawan termuda yang menyertai misi kemanusiaan GSF. Kredit/ Instagram @haroqs.
Haroqs antara sukarelawan termuda yang menyertai misi kemanusiaan GSF. Kredit/ Instagram @haroqs.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keinginan peserta termuda misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mewakili Malaysia untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin demi menghulurkan bantuan kemanusiaan akhirnya tercapai.

Haroqs atau nama sebenarnya Muhammad Hareez Adzrami, 25, berkata, dia menerima panggilan untuk menyertai misi tersebut pada 12 Ogos lalu dan terus menerima tawaran tanpa berfikir panjang.

Pemuda itu beranggapan, ia peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan memandangkan sudah lama dirinya memasang hajat untuk membantu saudara sesama Islam di Gaza.

Meskipun sebelum ini pernah mengikuti misi sukarelawan ke Turkiye, Syria, Lubnan, Jordan dan Afghanistan, jelasnya, pengalaman ke Gaza kali ini boleh dikatakan paling bermakna dalam hidupnya.

“Saya memang teringin sangat nak pergi ke sana (Gaza) dan selalu berdoa kepada ALLAH SWT supaya jemput saya ke bumi Palestin.

"Jadi, saya terus setuju sertai misi kerana bagi saya, ia seolah-olah satu 'mesej' daripada-Nya dan Dia juga gerakkan hati ini.

“Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan Cinta Salam Malaysia dan FL Childrity sebagai sukarelawan. Cuma misi kali ini paling bermakna kerana ia bukan misi semata-mata, tapi cara untuk berdakwah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Haroqs merupakan salah seorang daripada 34 delegasi Malaysia yang berlayar ke Gaza dengan menaiki flotilla.

Penyertaan videografer bebas itu ke dalam misi penting sebegitu mengundang reaksi kagum wargamaya, malah ada yang turut menyokong serta berharap agar pemuda berkenaan selamat pergi dan balik ke tanah air.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut memaklumkan, dia bersama delegasi Malaysia yang membawa sukarelawan GSF lain berlepas menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sepanyol terlebih dahulu pada 27 Ogos lepas.

Ditanya tentang penerimaan keluarga, Haroqs memaklumkan kedua ibu bapa, (Rashidah Nor Mohd Nordin dan Adzrami Mohd Zamri) positif dan merestui hasratnya untuk menyertai misi kemanusiaan tersebut asalkan tidak lupa pada kewajipan menunaikan solat.

"Alhamdulillah keluarga terutamanya emak dan ayah restui hasrat saya nak menyertai misi ini, mereka bahkan menghantar saya ke lapangan terbang tempoh hari.

"Emak dan ayah pesan supaya berhati-hati dan paling penting, jangan tinggal solat. Saya berharap hajat nak sampai ke Gaza tercapai kerana saya bukan buat untuk diri sendiri, tetapi saudara sesama Islam di sana," ujarnya.

Pemuda asal Negeri Sembilan itu turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan doa rakyat Malaysia yang tidak putus-putus terhadap sukarelawan GSF.

Misi GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis melanda Gaza.

Ringkasan AI

  • Peserta termuda misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Palestin, Muhammad Hareez Adzrami, berusia 25 tahun
  • Muhammad Hareez Adzrami terpilih sertai misi pada 12 Ogos lalu dan menerima tawaran tanpa berfikir panjang
  • Pengalaman ke Gaza dianggap paling bermakna berbanding misi sukarelawan sebelum ini ke Turkiye, Syria, Lubnan, Jordan dan Afghanistan
  • Haroqs merupakan salah seorang daripada 34 delegasi Malaysia yang berlayar ke Gaza
  • Famili Haroqs, terutama ibu bapa, merestui dan menyokong penyertaannya dalam misi tersebut asalkan tidak meninggalkan solat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!