Tindakan kerajaan Itali, Sepanyol bantu Global Sumud Flotilla perlu jadi inspirasi - Amanah

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Mohamad)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Mohamad)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza wajar menjadi inspirasi bahawa solidariti terhadap Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama dan benua.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah berani itu membuktikan masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.

"Amanah menyokong tindakan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut mengiringi flotila ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.

"Kedua-dua negara itu membuktikan mereka bukan sekadar beretorik, sebaliknya menunjukkan keberanian moral melalui tindakan nyata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, tragedi kemanusiaan di Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia dan sewajarnya negara lain, khususnya dunia Islam, tidak terus bergantung kepada kuasa besar yang hanya mementingkan kepentingan geopolitik masing-masing.

Katanya, negara lain perlu tampil dan bertindak dengan keberanian yang sama seperti Itali dan Sepanyol kerana inilah masa untuk membuktikan bahawa dunia benar-benar peduli terhadap nasib Palestin, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan.

"Lebih malang, dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika Syarikat, ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli, sesuatu yang mustahil.

"Harapan sebegitu hanya melemahkan diri sendiri, sedangkan masa depan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan tegas daripada saudara seagama mereka,” katanya.

Tegasnya, rakyat Palestin berhak hidup aman serta mendapat akses kepada makanan, ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan GSF pada Selasa dan menggesa laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal misi itu.

Menurut kementerian itu, Malaysia menegaskan semula bahawa GSF adalah misi kemanusiaan sah di sisi undang-undang dan amat penting dari segi moral berikutan genosid serta kebuluran yang berlaku di Palestin.

Misi GSF disertai lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, dengan hampir 70 kapal membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan. Ia dijadual tiba di perairan Gaza hujung bulan ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut membantu misi kemanusiaan ke Gaza
  • Langkah ini menunjukkan solidariti terhadap Palestin tidak mengenal sempadan
  • Presiden Amanah menyokong tindakan ini dan menyeru negara lain ikut serta
  • Rakyat Palestin berhak hidup aman dengan akses kepada makanan dan ubat-ubatan
  • Misi GSF disertai lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia membawa bekalan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!