Atap rumah tercabut, penduduk Kota Tinggi panik dibadai ribut

KOTA TINGGI – “Saya dan menantu hanya mampu berselawat selepas tergamam apabila rumah kami dibadai ribut sehingga atap tercabut,”
Demikian luah Rohayah Abdul Rahim, 58, ketika kejadian ribut berlaku di Kampung Makam pada petang Khamis.
Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku ketika dia dan menantunya sedang berbual di dapur sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kencang serta hujan lebat.

“Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kuat dari atas bumbung seolah-olah ada orang sedang berlari. Kami hanya duduk sambil membaca selawat.
“Selepas itu, kami dapati tujuh hingga 10 keping atap rumah telah diterbangkan angin dan ruang tamu mula dimasuki air, selain sebuah perabot turut rosak,” katanya.
Ketua Kampung Makam, Shamsul Kamar Othman berkata, tiga rumah penduduk terjejas akibat ribut berkenaan termasuk sebuah rumah keluarga asnaf yang mengalami kerosakan hampir 40 peratus pada bahagian bumbung.
Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya sedang mengumpul maklumat kerosakan untuk disalurkan kepada agensi berkaitan, selain kerja pembersihan pokok tumbang yang dilakukan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
Katanya, kejadian ribut kali ini lebih buruk berbanding tahun lalu yang hanya mengakibatkan beberapa pokok tumbang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata, pusat khidmatnya bersama agensi berkaitan akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa ribut.
“Kita telah maklumkan perkara ini kepada pihak yang terlibat, dan diharapkan proses penilaian serta bantuan dapat dilaksanakan segera demi keselesaan penduduk yang terjejas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kerosakan akibat hujan lebat dan angin kencang yang berlaku petang Khamis termasuk membabitkan Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi.
Ringkasan AI
- Rumah di Kampung Makam di Kota Tinggi dibadai ribut hingga atap tercabut
- Rohayah Abdul Rahim dan menantunya selamatkan diri dengan berselawat ketika ribut
- Tiga rumah terjejas akibat ribut termasuk rumah keluarga asnaf dengan kerosakan hampir 40%
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan oleh MDKT
- Bantuan dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan agensi berkaitan akan disalurkan kepada mangsa ribut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

