Penduduk Israel ketakutan, panik dan keliru

TEL AVIV - Bak kata pepatah, konflik Iran-Israel ini 'ibarat buku bertemu ruas'.
Penduduk Israel pada Sabtu dilanda ketakutan, panik dan keliru apabila hujan peluru berpandu dilancarkan Iran menghentam kediaman serta pangsapuri mereka hingga mengakibatkan kemusnahan ketara dan meragut tiga nyawa manakala puluhan yang lain cedera.
Keadaan sama telah dialami penduduk Palestin di Genting Gaza selama 20 bulan yang berdepan kempen pengeboman ganas Zionis, namun mereka tidak dapat bertindak balas seperti dilakukan Teheran.
Siren amaran yang dibunyikan sebagai menandakan Iran telah melancarkan serangan balas menyebabkan jutaan penduduk di Tel Aviv lari bertempiaran ke bunker dan bilik berlindung khas.
Krisis pada kali ini menyaksikan Teheran tidak mengambil masa lama untuk bertindak balas dengan lebih agresif terhadap entiti Zionis seperti dijanjikan pemimpin mereka.
Sasaran Iran adalah kawasan penempatan di Tel Aviv, Ramat Gan dan Rishon Lezion.
"Kami segera berlindung di dalam rumah dan mengikuti perkembangan berita melalui komputer.
"Bunyi dentuman kuat akibat impak peluru berpandu itu menggegar kawasan sekitar," kata Tali Horesh di Tel Aviv.
Menurutnya, seluruh ruang tamu di kediamannya diselubungi asap tebal dan mereka terpaksa berlindung di bilik perlindungan selama kira-kira dua jam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Sementara itu, Kolonel Michael David yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, anggotanya telah dilatih untuk menghadapi situasi kritikal seperti itu.
"Tetapi, impaknya berbeza. Kami tidak pernah berdepan keadaan dahsyat seperti ini," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!