Pemain industri digital perlu tingkat pelaburan keselamatan siber – MCMC

Derek menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber sempena Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di sini pada Rabu.
Derek menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber sempena Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan digital termasuk sektor perbankan, telekomunikasi dan platform media sosial disaran meningkatkan pelaburan dalam aspek keselamatan siber sejajar keuntungan besar yang diraih daripada pendigitalan.

Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek John Fernandez berkata, aspek keselamatan tidak boleh dianggap beban kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab industri terhadap pelanggan.

Menurutnya, syarikat tidak boleh mengharapkan pengguna melindungi diri sendiri sedangkan teknologi yang semakin canggih membuka ruang kepada penjenayah siber.

“Keselamatan memerlukan sumber dan dana. Mereka yang mendapat keuntungan daripada pendigitalan wajib melabur secukupnya untuk melindungi pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di sebuah hotel di ibu negara, pada Rabu.

Derek menegaskan mesej utamanya ialah pelanggan mesti dilayan sebagai insan bernilai, bukan sekadar produk untuk ditukar ganti.

“Berikan perlindungan sewajarnya, amaran risiko dan langkah berjaga-jaga. Itu tanggungjawab sosial dan moral industri,” ujarnya.

Katanya, kerajaan pada masa sama sedang berusaha mendidik lebih 30 juta rakyat dengan tahap kefahaman teknologi yang berbeza-beza.

“Tugas ini memang mencabar, namun kerajaan komited memastikan semua lapisan masyarakat mendapat pendedahan yang sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks serantau, beliau menjelaskan Malaysia kini memimpin usaha ASEAN dalam merangka dasar keselamatan digital.

“Dalam beberapa bulan akan datang, ASEAN dijangka menandatangani perjanjian bersama berkaitan keselamatan siber. Langkah ini penting bagi menyelaras dasar dan melindungi rakyat serta pelawat di seluruh rantau,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan negara ASEAN kini mengadaptasi prinsip tanggungjawab bersama yang turut digariskan di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Melalui kerjasama erat, negara anggota dapat berkongsi prinsip keselamatan siber bagi membina daya tahan digital serantau,” jelasnya.

Derek menambah, kerjasama itu penting kerana ancaman siber tidak mengenal sempadan dan hanya boleh ditangani melalui tindakan kolektif ASEAN.

Dalam aspek kesedaran awam, beliau menekankan peranan regulator bukan sekadar menumpu pada kawal selia teknikal tetapi juga pendidikan rakyat.

Laksana program literasi digital

MCMC katanya, melaksanakan pelbagai program literasi digital seperti inisiatif Internet Selamat selain memperluas kempen melalui Sistem Maklumat Kebangsaan.

“Program ini dilaksanakan menerusi media sosial termasuk TikTok bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai, khususnya golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, kempen kesedaran turut diperluas ke bandar dan sekolah dalam pelbagai bahasa agar mudah difahami semua lapisan masyarakat.

Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga perlu dipertanggungjawabkan untuk melindungi pelanggan mereka.

“Kita lihat ada bank yang sudah mula menghantar mesej amaran kepada pelanggan. Usaha ini perlu diperkasakan oleh semua penyedia perkhidmatan,” jelasnya.

Derek menambah, agensi kerajaan lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggunakan saluran mesej komuniti untuk memberi amaran berkala kepada orang ramai.

Katanya, pendekatan rentas agensi ini menunjukkan usaha kolektif penting untuk mengekang penipuan siber yang semakin canggih.

Menyentuh isu tanggungjawab bersama, beliau menegaskan penyedia perkhidmatan perlu mematuhi kewajipan undang-undang dalam melindungi orang awam.

Jelasnya, MCMC kini menekankan pengurusan nombor berisiko termasuk nombor roaming dan nombor terbiar yang sering digunakan sindiket penipuan.

“Langkah ini penting supaya pengguna menerima pemberitahuan awal sebelum mereka terdedah kepada risiko menjadi mangsa,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan bahawa kawal selia keselamatan mengekang inovasi.

Sebaliknya, beliau berkata, keselamatan adalah sebahagian daripada inovasi sama seperti ciri keselamatan kereta yang melindungi nyawa pemandu dan penumpang.

“Inovasi keselamatan juga adalah inovasi. Dengan menjadikan keselamatan sebagai keutamaan, kita sebenarnya lebih kreatif kerana berfikir mendahulukan manusia,” katanya.

Derek turut mengingatkan industri bahawa keuntungan besar perlu datang bersama tanggungjawab besar.

“Digitalisasi memang jalan ke depan, tetapi jangan abaikan ancamannya. Lindungi pelanggan kerana mereka adalah aset paling berharga,” tegasnya.

Ancaman teknologi komunikasi membimbangkan

Ancaman siber kini menjadi antara cabaran utama keselamatan negara kerana mampu menjejaskan infrastruktur kritikal komunikasi dan menggugat kestabilan sesebuah negara.

Perkembangan teknologi moden membuka ruang kepada ancaman baharu yang tidak boleh dipandang ringan.

Derek berkata, laporan media antarabangsa baru-baru ini mendedahkan perkhidmatan rahsia Amerika Syarikat berjaya merampas sejumlah besar peralatan yang mampu menutup rangkaian mudah alih di New York.

“Ini menunjukkan ancaman terhadap teknologi komunikasi bukan sahaja wujud, malah boleh menjadi strategi utama dalam peperangan masa depan,” katanya.

Menurut Derek, Malaysia sendiri berdepan cabaran besar dalam menangani jenayah siber yang semakin berkembang.

Sehingga kini, pihak berkuasa berjaya menyekat sebanyak 2.1 juta panggilan mencurigakan dan 2.1 juta mesej tidak sah yang dikesan melalui sistem komunikasi.

“Kerugian akibat jenayah dalam talian sejak 2022 hingga sekarang telah mencecah hampir RM600 juta,” katanya.

Beliau menambah, dalam tempoh 2022 hingga 2024, sebanyak 3.16 juta transaksi penipuan berjaya dipintas hasil kerjasama pelbagai agensi.

Katanya, hakikat itu jelas menunjukkan ancaman terbesar pada era digital bukan lagi berbentuk senjata, sebaliknya manipulasi maklumat yang boleh mempengaruhi keputusan dan tindakan manusia.

“Maklumat boleh digunakan untuk mencetuskan peperangan, melancarkan serangan, menyakiti individu atau memperdayakan orang ramai melalui klik semata-mata. Inilah senjata moden yang lebih berbahaya,” tegasnya.

Derek berkata, penjenayah siber hari ini mengeksploitasi maklumat serta algoritma untuk mengawal pemikiran dan tingkah laku individu.

Jelasnya, trend digitalisasi yang semakin meluas bukan sahaja memudahkan urusan masyarakat, malah memperkukuh kuasa penjenayah kerana mereka boleh beroperasi dari jauh.

“Penjenayah tidak perlu berada di lokasi jenayah untuk bertindak. Mereka boleh bergerak secara anonim, merentas sempadan dan sukar dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menegaskan, situasi itu membuktikan kepentingan meletakkan kawalan maklumat sebagai salah satu elemen utama keselamatan negara pada era digital.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!