Rakyat Malaysia antara dua individu ditahan edar 4,000 pil kuda di Sungai Golok

KOTA BHARU - Dua lelaki masing-masing warga Malaysia dan Thailand ditahan kerana disyaki terlibat mengedar 4,000 pil kuda, dalam operasi membanteras dadah di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi dalam operasi yang diketuai dua pegawai Pejabat Daerah Sungai Golok.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok, Supeeyan Daemokleng berkata, kesemua pil kuda yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar Sungai Golok dan diseludup masuk ke Malaysia.
"Kedua-dua suspek disiasat atas tuduhan bersubahat dalam pengedaran dadah Kategori 1 dengan niat untuk menjual serta mengedarkan. Suspek warga Malaysia itu juga akan didakwa kerana memasuki dan tinggal di Thailand tanpa kebenaran.
"Operasi ini dijalankan sebagai langkah pencegahan, pemulihan dan penghapusan masalah dadah di daerah berkenaan, selaras dengan dasar kerajaan Thailand bagi mewujudkan komuniti bebas dadah di bawah slogan ‘No Drugs No Dealers’," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Prachaviwat, Sungai Golok, sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, harga sebiji pil kuda atau "Yaba” di Thailand sekitar 30 baht, namun apabila diseludup ke Malaysia harganya boleh mencecah antara RM8 hingga RM10 sebiji. - Bernama
Ringkasan AI
- Dua lelaki dari Malaysia dan Thailand ditahan kerana disyaki mengedar 4,000 pil kuda di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand
- Suspek berusia 23 dan 25 tahun ditahan dalam operasi yang diketuai oleh pegawai Pejabat Daerah Sungai Golok
- Pil kuda yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar Sungai Golok dan diseludup masuk ke Malaysia
- Suspek disiasat atas tuduhan bersubahat dalam pengedaran dadah dan warga Malaysia juga akan didakwa kerana menyalahi peraturan imigresen Thailand
- Operasi ini merupakan bahagian dari usaha Thailand mewujudkan komuniti bebas dadah dengan slogan 'No Drugs No Dealers'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
