Thailand gagalkan cubaan seludup 450,000 pil yaba ke Malaysia

KOTA BHARU - Pihak berkuasa Thailand berjaya mematahkan cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai 13.5 juta baht (RM1.8 juta) ke Malaysia melalui perkhidmatan kurier, semalam.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan mengenai penghantaran dadah melalui sebuah syarikat kurier ke bandar sempadan itu.
Beliau berkata, pihaknya melakukan risikan sejak awal pagi untuk mengesan individu yang dijangka mengambil bungkusan berisi dadah itu.
"Bagaimanapun, tiada sesiapa hadir dan semua dadah telah dirampas serta dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Supeeyan berkata, dadah itu dipercayai akan diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram Sungai Golok dan setiap pil dijual pada harga pasaran kira-kira 30 baht sebiji.
Rampasan dilakukan kira-kira jam 2 petang (3 petang waktu Malaysia) di bawah arahan Gabenor Wilayah Narathiwat Leftenan Muda Trakul Thodham.
Beliau berkata, pihaknya komited memperketat kawalan bagi menghalang kemasukan dadah ke Malaysia, yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Thailand mematahkan cubaan menyeludup 450,000 biji pil yaba bernilai 13.5 juta baht ke Malaysia melalui kurier
- Rampasan dilakukan berdasarkan maklumat risikan tentang penghantaran dadah melalui syarikat kurier
- Tiada individu mengambil bungkusan dadah tersebut dan semua dadah dirampas untuk siasatan lanjut
- Dadah tersebut dipercayai akan diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram Sungai Golok
- Pihak berkuasa komited memperketat kawalan untuk menghalang kemasukan dadah ke Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
