Pemandu e-hailing hampir langgar pejalan kaki didakwa memandu berbahaya

Tiong Han (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi satu pertuduhan memandu kereta secara berbahaya, Selasa lalu. Foto Sinar Harian
Tiong Han (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi satu pertuduhan memandu kereta secara berbahaya, Selasa lalu. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing yang tular dalam kes tidak memberhentikan kenderaan ketika lampu isyarat merah dan hampir merempuh seorang pejalan kaki, mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan memandu secara berbahaya.

Chew Tiong Han, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu telah memandu kereta secara berbahaya kepada orang awam di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, jam 6.30 petang pada 23 September.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta butir-butir sabitan akan diendorskan pada lesen memandu dan hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Gurusharonjit Kaur yang mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya telah bercerai dan perlu menanggung nafkah anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 November depan.

Sebelum ini, video berdurasi 32 saat tular di aplikasi TikTok, memaparkan sebuah kereta di lorong kanan hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga menyebabkan barang yang dibawa terjatuh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, wanita berkenaan dipercayai tidak mengalami kecederaan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu e-hailing didakwa memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur
  • Chew Tiong Han, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu berbahaya
  • Insiden berlaku di Jalan Sultan Hishamuddin pada 23 September jam 6.30 petang
  • Pemandu itu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!