Trump dakwa berlaku ‘sabotaj tiga serangkai’ di PBB

Trump dan Melania. Foto Agensi
Trump dan Melania. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau menjadi mangsa 'tiga kejadian mencurigakan' ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa lalu.

Trump berkata, kejadian itu melibatkan eskalator tiba-tiba berhenti, telepanduan gagal berfungsi serta sistem bunyi terganggu ketika beliau menyampaikan ucapan di ibu pejabat PBB, New York.

Menurutnya, insiden berkenaan bukan kebetulan, sebaliknya satu bentuk 'sabotaj terancang' dan menyerahkan perkara itu kepada Perkhidmatan Rahsia AS untuk siasatan lanjut.

Trump mendakwa eskalator yang dinaikinya bersama rombongan tiba-tiba terhenti dan menyifatkannya sebagai 'sabotaj jelas'.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric menjelaskan seorang juruvideo dari delegasi AS yang berlari di hadapan Trump dipercayai secara tidak sengaja mengaktifkan mekanisme keselamatan eskalator berkenaan.

Namun, Trump bertegas “individu yang melakukannya patut ditangkap.”

Dalam ucapan rasmi di hadapan pemimpin dunia, Trump mendakwa telepanduan yang digunakan tiba-tiba ‘gelap sepenuhnya’.

Seorang pegawai PBB memaklumkan secara tidak rasmi bahawa operasi telepanduan berkenaan sebenarnya dikendalikan sendiri oleh Rumah Putih.

Selain itu, Trump berkata, sistem audio juga gagal berfungsi menyebabkan hanya hadirin yang menggunakan alat penterjemah dapat mendengar ucapannya.

Artikel Berkaitan:

Malah, isterinya Melania turut memaklumkan tidak dapat mendengar sepatah pun ucapan beliau.

“Ini bukan kebetulan, ini sabotaj tiga serangkai,” katanya di platform Truth Social, sambil menggesa PBB menyimpan rakaman keselamatan insiden eskalator sebagai bahan bukti.

Dakwaan Trump itu menimbulkan perhatian diplomatik apabila Duta Besar AS ke PBB, Mike Waltz menuntut penjelasan penuh mengenai insiden tersebut.

Dalam kenyataannya di platform X, Waltz berkata “AS tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman terhadap keselamatan atau maruah kami di forum antarabangsa. Kami menjangka kerjasama segera serta tindakan tegas daripada PBB.”

Pihak PBB setakat ini belum memberi sebarang komen rasmi berhubung kegagalan sistem bunyi serta dakwaan konspirasi lebih besar yang dibangkitkan Trump. - Agensi

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa menjadi mangsa 'tiga kejadian mencurigakan' di Perhimpunan Agung PBB
  • Kejadian mencurigakan tersebut melibatkan eskalator yang tiba-tiba berhenti, kegagalan telepanduan, dan gangguan sistem bunyi
  • Trump menyifatkan insiden tersebut sebagai 'sabotaj terancang' dan telah menyerahkannya kepada Perkhidmatan Rahsia AS untuk siasatan
  • Juruvideo dari delegasi AS dipercayai secara tidak sengaja mengaktifkan mekanisme keselamatan eskalator, menurut Jurucakap PBB, Stephane Dujarric
  • Dakwaan Trump tentang sabotaj meningkatkan perhatian diplomatik, dengan Duta Besar AS ke PBB, Mike Waltz, menuntut penjelasan penuh dari PBB

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!