Tak sangka kaya raya pakai kereta mewah tapi kedekut

APABILA baca angka yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Merak Jalanan pun terlopong.
Bukan seorang dua, tapi ribuan pemilik kereta mewah yang harga kayangan iaitu Ferrari, Lamborghini, Rolls-Royce, Porsche dan Bentley ‘terlupa’ nak perbaharui cukai jalan.
Paling mengejutkan kalangan yang terlibat ialah orang kenamaan dan pemimpin politik.
Nilainya bukan kecil, hampir RM35.7 juta! Dengan nilai sama jika orang kaya ini bayar cukai boleh bina kira-kira 500 rumah mesra rakyat.
Atau pun dengan nilai sama boleh tambah lebih banyak bas awam untuk kegunaan orang ramai.
Malangnya, duit sebanyak itu tersangkut hanya kerana sikap culas segelintir pemilik kereta mewah.
Anehnya, kalau mampu beli kereta harga jutaan ringgit, kenapa bab cukai jalan pun boleh liat?
Nak kata tak tahu prosedur, semua pakai canggih belaka. Nak kata tak ada duit, gaji dan poket mereka pada pandangan rakyat tak pernah kering.
Jika dilihat mata kasar pun hanya yang poket tebal sahaja mampu beli kereta harga macam itu.
Ada yang kata mungkin sengaja biar tertunggak, sebab rasa mungkin susah nak kena tahan sekatan jalan.
Sepatutnya malulah kepada rakyat biasa yang berpendapatan rendah tetapi tetap berdisiplin untuk memastikan cukai jalan motosikal atau kereta kecil tidak tertunggak walau sehari.
JPJ pula jangan sekadar umum angka mengejutkan ini, tapi kena berani bertindak. Kalau betul mahu tegas, ketuklah pintu banglo mewah itu minta mereka lunaskan cukai jalan.
Akhirnya, janganlah jadi kaya yang kedekut dan culas. Bukan sahaja memalukan diri, tapi juga merosakkan imej golongan berada yang sepatutnya jadi contoh.
Kalau mampu beli kereta jutaan ringgit, sepatutnya mampulah juga untuk bayar cukai jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
