'Tak sangka hasrat 'healing' bertukar tragedi'

BENTONG – Hasrat sepasang suami isteri untuk berehat dan menikmati alam semula jadi sebagai terapi kesihatan bertukar tragedi apabila si isteri maut selepas khemah mereka dihempap pokok tumbang di tapak perkhemahan Pulau Santap, dekat Janda Baik, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Herini Mohammad Ali, 38, yang berasal dari Banting, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suaminya, Koperal Saidi Long, 43, berkata mereka datang berkhemah buat pertama kali bersama dua keluarga lain atas saranan doktor bagi membantu isterinya yang menghidap masalah hormon tiroid untuk berehat dan menikmati suasana semula jadi.

“Kami pertama kali datang berkhemah di sini dengan dua keluarga lain dan aktiviti ini pun atas saranan doktor kerana isteri memerlukan rehat dan menikmati alam semula jadi kerana masalah hormon tiroid yang dihidapinya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Bentong.
Ketika kejadian, Saidi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sedang tidur di dalam khemah bersama isterinya dan anak lelaki mereka, Muhammad Iman Syahfie, 7.
“Khemah kami terletak di hujung sekali. Sebelum kejadian, cuaca dalam keadaan baik tanpa hujan, angin atau ribut.
“Saya dengar bunyi dahan patah, tidak sangka kena khemah kami. Sekelip mata saja berlaku, anak saya menjerit ketakutan. Saya cuba kejutkan isteri, tapi dia tidak memberi sebarang respons,” ujarnya.
Tambahnya, dalam keadaan kelam-kabut, rakan-rakan perkhemahan lain segera datang membantu memotong dahan sebelum mengeluarkan mereka bertiga.
“Mereka tarik keluar anak saya dulu, kemudian saya. Saya pun tidak berdaya kerana bahu patah dan tulang rusuk retak.
“Sebelum ditarik keluar, saya sempat menarik kaki isteri tapi tetap tiada respons. Masa itu saya ingat dia masih tidur tapi tidak sangka dia sudah tiada,” jelasnya dengan nada sebak.
Dalam kejadian itu, Saidi mengalami kecederaan patah bahu dan tulang rusuk kiri manakala anaknya cedera ringan di bahagian kaki.
Katanya lagi, mereka sekeluarga sepatutnya pulang pada Khamis namun menangguhkan hingga ke tengah hari Jumaat selepas berada di tapak perkhemahan itu sejak Isnin lalu.
Menurut Saidi, sepanjang tempoh berada di tapak perkhemahan, Allahyarham isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan ceria seperti biasa.
Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Olak Lempit, Banting untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang anggota polis kehilangan isterinya akibat pokok tumbang di tapak perkhemahan Pulau Santap dekat Janda Baik
- Herini Mohammad Ali, 38, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 pagi
- Koperal Saidi Long bersama isteri dan anak tidur dalam khemah ketika kejadian
- Saidi mengalami kecederaan patah bahu dan tulang rusuk, anaknya cedera ringan
- Mereka berkhemah atas saranan doktor untuk isteri Saidi yang menghidap masalah hormon tiroid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

