Dakwaan Jonathan uji kredibiliti negara

DAKWAAN yang dilemparkan oleh bekas penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer, bahawa Malaysia kononnya menjadi pusat operasi Hamas, Sabtu lalu menguji ketegasan dan kredibiliti negara dalam menangani isu keselamatan serantau dan global.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menafikan dakwaan itu dengan menekankan bahawa tahap keselamatan negara sentiasa terkawal hasil kerjasama rapat antara agensi penguat kuasa tempatan dan luar negara.
Kritikan Jonathan yang juga Pengarah Eksekutif Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD) itu muncul selepas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian untuk terus menyokong Palestin dan menggesa negara-negara Arab -Islam memutuskan hubungan dengan Israel yang telah menghancurkan Gaza dan merampas Tebing Barat.
Walaupun kenyataan Jonathan bukan pendirian rasmi AS, ia berisiko menjejaskan reputasi Malaysia dan penegasan kerajaan penting bagi memelihara imej negara serta mengelakkan tercetusnya persepsi negatif.
Malaysia sejak sekian lama menzahirkan solidariti kepada perjuangan Palestin namun dalam konteks geopolitik, sokongan moral dan diplomatik itu sering disalah tafsir sebagai bentuk perlindungan atau kegiatan militan.
Cabaran utama yang perlu dilihat adalah memastikan keselamatan negara tidak digugat oleh sebarang unsur ekstremis dan mengekalkan prinsip yang lantang dalam menyokong Palestin di arena antarabangsa.
Dakwaan yang dilemparkan warga AS itu bukanlah kali pertama apabila tahun lalu, Profesor Bruce Gilley dalam satu program di Universiti Malaya menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Situasi itu menunjukkan bahawa isu Palestin tidak hanya berkaitan dengan hak asasi atau kemanusiaan, tetapi juga menjadi alat dalam percaturan kuasa besar.
Justeru itu, menjadi keperluan kerajaan untuk mengurus persepsi antarabangsa dengan lebih strategik serta ia perlu digerakkan secara bersepadu.
PDRM serta agensi keselamatan lain juga diminta terus berwaspada terhadap ancaman yang sebenar selain menangani dengan penuh bijaksana dalam keseimbangan antara idealisme diplomatik dan realiti keselamatan nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
