Anak syurga dalam ‘neraka’ manusia

Anak autisme hidup dalam spektrum sendiri dan berbeza cara memahami bunyi, sentuhan, emosi dan persekitaran. Foto hiasan
Anak autisme hidup dalam spektrum sendiri dan berbeza cara memahami bunyi, sentuhan, emosi dan persekitaran. Foto hiasan
A
A
A

TASKA sepatutnya menjadi syurga kecil buat anak-anak. Ruang pertama mereka belajar mempercayai dunia, mengenal kasih sayang dan membina emosi yang akan membentuk perjalanan hidup mereka.

Namun realitinya, bagi sesetengah kanak-kanak, taska berubah menjadi ‘neraka’ yang meninggalkan trauma senyap.

Negara baru-baru ini digemparkan dengan pendedahan kes seorang kanak-kanak autisme yang dikurung dalam bilik sempit di sebuah taska, kononnya sebagai ‘kaedah kawalan’.

Anak kecil itu bukan penjenayah. Dia hanya hidup dalam spektrum sendiri dan berbeza cara memahami bunyi, sentuhan, emosi dan persekitaran. Namun apa yang diterimanya ialah hukuman, pengasingan dan ketakutan.

Penulis mempunyai anak saudara autistik dan melihat sendiri bagaimana mereka sensitif terhadap bunyi, sukar menzahirkan emosi dengan kata-kata, mudah cemas apabila rutin berubah.

Anak-anak ini bukan bermasalah tetapi mereka hanya memerlukan pendekatan berbeza. Yang benar-benar mengagumkan ialah ketabahan serta kesabaran ibu bapa anak syurga ini yang menjaga mereka setiap hari tanpa cuti.

Ada ibu bapa yang tiada pilihan selain menghantar anak syurga mereka ke taska dengan harapan tempat itu menjadi ruang selamat untuk anak belajar berdikari, bersosial dan berkembang mengikut keupayaan sendiri.

Dalam keterbatasan masa, tuntutan kerja dan kekangan sokongan keluarga, taska dilihat sebagai pelindung sementara. Harapan itu sering disandarkan pada kepercayaan bahawa setiap anak termasuk yang berkeperluan khas akan dilayan dengan empati, kesabaran dan kefahaman.

Namun, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) menunjukkan golongan ini lebih terdedah kepada penderaan fizikal, emosi dan pengabaian berbanding kanak-kanak tipikal kerana ketidakupayaan mereka untuk melapor atau mempertahankan diri.

Artikel Berkaitan:

Kes penderaan Bella, remaja sindrom Down yang didera oleh penjaganya, Siti Bainun menjadi simbol kegagalan kolektif masyarakat dan sistem.

Kes ini membuka mata negara bahawa penderaan terhadap anak berkeperluan khas bukan kes terpencil, tetapi berpunca daripada kuasa tanpa kawalan dan sistem yang gagal melindungi.

Masalah ini tidak boleh lagi dilihat sebagai kes terpencil atau kesalahan individu semata-mata. Nisbah pengasuh dan kanak-kanak yang tidak munasabah, latihan bersifat kosmetik, ketiadaan modul khusus OKU serta pemantauan longgar menjadikan taska medan paling berisiko bagi anak berkeperluan khas.

Dalam konteks ini, cadangan agar kanak-kanak seawal usia enam tahun terus memasuki Tahun Satu wajar dibincangkan secara matang. Ia mungkin dapat mengurangkan tempoh kanak-kanak terdedah kepada institusi penjagaan berisiko.

Negara memerlukan langkah lebih berani dan berperikemanusiaan. Penubuhan tadika dan prasekolah kerajaan yang menyeluruh, berkualiti dan inklusif bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.

Sistem ini mesti menyediakan guru pendidikan khas, sokongan psikologi, pemantauan ketat serta perlindungan undang-undang yang jelas.

Kepada ibu bapa anak syurga, teruslah tabah melangkah meskipun jalan ini sering terasa sunyi dan berat. Anda bukan insan biasa tetapi dipilih untuk memikul amanah yang menuntut kesabaran luar biasa, kasih sayang tanpa syarat dan kekuatan yang tidak semua orang mampu miliki.

Setiap penat, air mata dan doa yang dipanjatkan bukan sia-sia, kerana di sebalik setiap cabaran itu tersimpan nilai kemanusiaan yang tinggi dan pahala yang tidak ternilai di sisi Tuhan.

*Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!