Musuh senyap era digital makin licik 'pancing' mangsa

AKTIVITI jenayah siber di seluruh negara kini semakin tidak terkawal, lebih-lebih lagi melibatkan kes penipuan dalam talian yang kini dilihat semakin licik memperdaya mangsa, tanpa mengira latar belakang, tahap pendidikan atau usia.
Apa yang membimbangkan, jenayah ini bukan lagi bersifat rawak, sebaliknya dirancang secara sistematik dengan memanfaatkan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kelemahan kesedaran orang awam.
Bukan itu sahaja, operasi scammer turut melibatkan skrip terperinci, penyamaran identiti dan rangkaian kewangan yang kompleks.
Kesalahan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan.
Namun undang-undang hanya berfungsi selepas jenayah berlaku. Realitinya, kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka sedang diperangkap sehingga semuanya sudah terlambat.
Pada 16 Januari lalu, kes penipuan melalui panggilan telefon melibatkan seorang ahli perniagaan di Terengganu yang kerugian hampir RM2.71 juta menggambarkan bagaimana sindiket ini bekerja secara perlahan dan sistematik.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa lelaki berusia 64 tahun itu diperdaya sindiket yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Uptown Petaling Jaya sebelum disambungkan kepada individu menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Ujar Mohd Khairi, mangsa dimaklumkan kononnya terlibat kes pengubahan wang haram dan diarahkan memastikan sejumlah wang mencukupi berada dalam akaun banknya bagi tujuan siasatan.
Mangsa tidak dipaksa menyerahkan wang dalam satu masa singkat.
Sebaliknya, scammer mencipta naratif seolah-olah mangsa berada dalam siasatan serius melibatkan pengubahan wang haram, lalu mengarahkan wang ‘dipantau’ atas alasan prosedur undang-undang.
Dalam tempoh hampir lima bulan, mangsa melakukan puluhan transaksi sedikit demi sedikit tanpa menyedari setiap arahan itu sebenarnya membawa wang terus ke akaun sindiket.
Apabila mangsa sedar ditipu, wang sudah lama lesap dan akaun penipu tidak lagi aktif.
Kesan jenayah ini tidak terhenti pada kerugian wang semata-mata. Ramai mangsa mengalami tekanan emosi yang mendalam, rasa malu, kemurungan dan hilang keyakinan diri.
Dari sudut penguatkuasaan, walaupun pihak berkuasa dan agensi berkaitan giat menjalankan kempen kesedaran serta tindakan undang-undang, namun ia masih belum mencukupi.
Cabaran utama ialah sifat jenayah siber merentas sempadan. Kebanyakan sindiket beroperasi dari luar negara dan berselindung di sebalik modus operandi licik bagi mengaburi pengesanan.
Keadaan ini menyukarkan proses siasatan dan pemulihan wang mangsa. Bagaimanapun, meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak berkuasa juga tidak adil.
Penulis beranggapan bahawa tahap literasi digital masyarakat juga perlu diperkukuhkan, khususnya dalam mengenal pasti tanda-tanda awal penipuan.
Sikap mudah percaya, dorongan untuk mendapatkan pulangan cepat dan tekanan ekonomi menjadi faktor yang sering dimanipulasi oleh penjenayah.
Justeru, pendidikan keselamatan siber perlu dijadikan agenda berterusan, bukan sekadar kempen bermusim.
Dalam era pendigitalan yang pesat, penipuan dalam talian ibarat ‘musuh senyap’ yang bergerak seiring kemajuan teknologi.
Masyarakat perlu dididik bahawa tiada agensi penguat kuasa akan mengarahkan pemindahan wang melalui telefon, apatah lagi melarang mangsa berhubung dengan ahli keluarga.
*Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

