Aktivis flotila diserang dron, dibom serbuk pemedih mata

Kapal “Family” dari Global Sumud Flotilla berlabuh di perairan Sidi Bou Said, Tunisia, selepas dilaporkan diserang dron pada 9 September 2025. Foto AFP
Kapal “Family” dari Global Sumud Flotilla berlabuh di perairan Sidi Bou Said, Tunisia, selepas dilaporkan diserang dron pada 9 September 2025. Foto AFP
A
A
A

ATHENS – Penganjur Global Sumud Flotilla, kumpulan kapal yang membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan ke Gaza, melaporkan mengalami beberapa serangan dron dan ledakan dari kapal mereka di perairan Greece dari Selasa malam hingga awal Rabu.

“Beberapa dron, objek tidak dikenali dijatuhkan, komunikasi diganggu dan letupan didengar dari beberapa kapal,” kata flotila itu dalam kenyataan, tanpa menjelaskan sama ada terdapat mangsa yang mengalami kemalangan jiwa.

Memetik laporan Al-Jazeera, aktivis Brazil, Tiago Avila, memaklumkan di Instagram tengah malam Rabu bahawa sepuluh serangan menarget beberapa kapal dengan bom bunyi dan suar letupan, malah disembur bahan kimia yang disyaki serbuk pemedih mata.

Aktivis Amerika Syarikat, Greg Stoker berkata, kapalnya di perairan Crete turut menjadi sasaran.

“Kapal kami diserang oleh dron yang menjatuhkan bebola kecil di dek. Beberapa kapal lain turut mengalami hal yang sama. Radio VHF kami diganggu dan mereka mula memutarkan lagu Abba,” katanya di Instagram.

Pihak berkuasa Israel belum memberi sebarang komen mengenai laporan serangan dron, letupan atau gangguan komunikasi terhadap flotila itu.

Sebelum ini, Kementerian Luar Israel mendakwa flotila itu “mengambil tindakan ganas” dan menuduh ahli flotila berkhidmat kepada Hamas, bukan rakyat Gaza.

Israel mencadangkan agar bantuan di atas kapal diserahkan kepadanya untuk dihantar ke Gaza melalui Ashkelon Marina, namun ditolak penganjur flotila.

“Jika flotila terus menolak cadangan Israel, Israel akan mengambil langkah perlu untuk menghalang kemasukannya ke zon perang dan memastikan keselamatan penumpang,” kata kenyataan Israel.

Artikel Berkaitan:

Avila menegaskan tindakan itu sebagai “manipulasi rezim Zionis” dan menambah mereka tidak boleh mempercayai kuasa pendudukan yang melakukan genosida untuk menyampaikan bantuan.

Flotila berjumlah 51 kapal itu berlepas dari bahagian barat Laut Mediterranean awal bulan ini dengan matlamat menembus sekatan laut Israel dan menghantar bantuan ke Gaza, selepas dua serangan dron disyaki di Tunisia.

Antara peserta terkenal ialah aktivis alam sekitar Greta Thunberg, manakala aktivis antarabangsa lain menegaskan flotila ini adalah tindakan aman untuk menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Israel sebelum ini sudah menghalang dua percubaan flotila mencapai Gaza melalui laut pada Jun dan Julai. - Agensi

Ringkasan AI

  • Penganjur Global Sumud Flotilla melaporkan beberapa serangan dron dan letupan di perairan Greece
  • Aktivis melaporkan sepuluh serangan dengan bom bunyi, suar letupan, dan semburan bahan kimia ke atas kapal
  • Kapal di perairan Crete diserang dron yang menjatuhkan bebola kecil, diganggu komunikasi dan diputarkan lagu Abba
  • Israel mencadangkan agar bantuan diserahkan kepada mereka untuk dihantar ke Gaza, tetapi ditolak oleh penganjur
  • Flotila berjumlah 51 kapal bertujuan menembus sekatan laut Israel dan menghantar bantuan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!