Tidak hirau gertakan Israel, semua bot dan 500 pelayar Global Sumud Flotilla teruskan pelayaran – ZRA

SHAH ALAM - Meskipun berdepan pelbagai ancaman daripada Israel termasuk insiden serangan dron terbaharu, semangat semua peserta misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) untuk meneruskan pelayaran ke Gaza ternyata tidak pernah luntur.
Semangat juang tinggi itu terbukti apabila semua bot dan 500 pelayar yang menyertai konvoi berkenaan tidak mengalah walaupun hampir dua kali digertak rejim Zionis hingga menyebabkan beberapa bot mengalami kerosakan.
Menurut penulis dan aktivis yang turut menyertai misi tersebut, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA, tentera Israel menggunakan kaedah letupan bunyi kuat di udara bagi menimbulkan kesan ketakutan dan mencetuskan panik dalam kalangan pelayar.
“Memandangkan hari ini masuk hari keenam pelayaran menuju Gaza, Israel menggunakan kaedah ‘gertak’ untuk menakutkan pelayar Global Sumud Flotilla. Tujuannya supaya ada pelayar yang ketakutan dan meminta diturunkan di Greece.
“Ini antara taktik Israel sebelum konvoi Global Sumud Flotilla memasuki Zon Kuning menuju pantai Gaza. Selepas dua jam operasi gertak itu, semua bot dan 500 pelayar meneruskan perjalanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, misi bantuan GSF kini merentasi perairan Greece dan semakin hampir memasuki Zon Kuning kira-kira 300 batu nautika dari pantai Gaza.
Menceritakan kembali detik mencemaskan yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi waktu Mediterranean, ZRA berkata, sebanyak 15 dron Israel dilihat mengekori konvoi berkenaan sebelum 12 letupan dikesan berdekatan sembilan bot.
“Satu letupan berlaku betul-betul di atas bot yang saya tumpangi. ‘Stun grenade’ biasanya digunakan untuk pencegahan rusuhan sebagai taktik menimbulkan ketakutan.
“Visual letupan di atas dek bot dan kesan layar koyak tidak berlaku pada bot saya. Namun, dua bot lain mengalami kerosakan minimal akibat ledakan ‘stun grenade’,” katanya.
Menerusi hantaran sama, ZRA turut memohon doa orang ramai agar semua peserta selamat sampai ke Gaza.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seramai 15 rakyat Malaysia menyertai pelayaran tersebut yang bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Misi berkenaan merupakan sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Ringkasan AI
- Semangat peserta Global Sumud Flotilla (GSF) tidak luntur walaupun dihadapi ancaman dari Israel
- Bot dan pelayar GSF terus bergerak ke Gaza meskipun diintimidasi dan bot mengalami kerosakan
- Israel menggunakan taktik letupan bunyi untuk menakutkan pelayar GSF
- Insiden terjadi apabila 15 dron Israel mengekori dan letupan menggertak berlaku dekat bot GSF
- Misi GSF yang menghimpunkan sukarelawan dari 44 negara bertujuan membawa bantuan ke Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

