Global Sumud Flotilla: Farah Lee kongsi detik cemas bot diserang dron

Farah Lee kongsi detik cemas apabila bot Global Sumud Flotilla diserang dron di zon kuning menuju Gaza.
Farah Lee kongsi detik cemas apabila bot Global Sumud Flotilla diserang dron di zon kuning menuju Gaza.
A
A
A

SHAH ALAM - Personaliti media sosial dan aktivis, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee berkongsi detik cemas apabila beberapa bot peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran untuk memasuki zon kuning ke Gaza diserang dron.

Farah yang menaiki bot Fair Lady bersama Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, beberapa siri letupan udara berlaku dipercayai bertujuan menakutkan peserta dalam misi kemanusiaan itu.

“Sekarang jam 3 pagi. Farah tengah tidur tapi dikejutkan dengan serangan yang berlaku kepada beberapa bot di sini. Difahamkan ada empat hingga lima bot yang diserang. Ada yang diserang melalui letupan udara, ada juga yang terkena jatuhan objek ke bot mereka hingga mengalami kerosakan.

“Kami semua sudah dalam mod bersiap sedia dengan berpakaian jaket keselamatan, lampu di kepala dan kasut,” katanya menerusi hantaran video di Instagram pada Rabu.

Menurut Farah, semua peserta kini berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Doakan kami dan Insya-ALLAH kekal tenang. Farah dan semua di sini selamat saja,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kapal Alma yang dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF dilaporkan didatangi 15 buah dron.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) menerusi hantaran di Facebook pada pagi Rabu.

Terdahulu, seramai 15 rakyat Malaysia menyertai pelayaran tersebut bermula 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Misi berkenaan merupakan sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Ringkasan AI

  • Personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau Farah Lee, berkongsi pengalaman cemas apabila bot yang dinaikinya diserang dron dalam misi ke Gaza
  • Beberapa bot peserta Global Sumud Flotilla diserang, menyebabkan kerosakan akibat letupan udara dan jatuhan objek
  • Peserta misi kini dalam keadaan berjaga-jaga, lengkap dengan jaket keselamatan dan alat keselamatan lain
  • Farah Lee meminta doa untuk keselamatan mereka dan menyatakan semua peserta masih selamat
  • Misi ini melibatkan lebih dari 50 bot dengan sukarelawan dari 44 negara, membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!